Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OGOS – Untuk melatih dan menggalakkan perkembangan rohani, jasmani, minda dan pergaulan dalam kalangan generasi muda supaya berpeluang mengambil bahagian dalam pembangunan masyarakat untuk menjadi seorang yang bertanggungjawab, Sekolah Antarabangsa Bright Jigsaw (BJIS) telah mengadakan Hari Berkhemah dan Keluarga BJIS kelima baru-baru ini selama dua hari dari 3 hingga 4 Ogos, bertempat di Pusat Latihan dan Kegiatan Pengakap Kebangsaan.
Acara yang bertemakan ‘Senaman mental dan fizikal kunci kejayaan diri’ itu diisi dengan pelbagai aktiviti seperti taklimat mengenai keselamatan tempat perkhemahan, demonstrasi tentang kepimpinan, cara mendirikan khemah dan ikatan-ikatan tali, ceramah motivasi jungle survival, sembahyang fardu berjemaah, permainan team building, aktiviti-aktiviti keagamaan dan pelbagai lagi.
Acara diteruskan dengan aktiviti Hari Keluarga di mana para ibu bapa bersama anak-anak mereka dan juga guru-guru melibatkan diri dengan pelbagai aktiviti seperti Zumba, permainan tarik tali, bola tampar, Balloon Relay, Relay Message dan pelbagai lagi.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis adalah Ketua Pegawai Eksekutif Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam, Skip Awang Zali bin Haji Arshad selaku wakil ketua pesuruhjaya PPNBD, yang seterusnya juga menyampaikan sijil kepada para peserta selepas acara.
Juga hadir ialah Lembaga-Lembaga Pengarah BJIS, Awang Roslan bin Dato Paduka Haji Yakub dan Dayang Sitty Wardyna binti Haji Muhamad Sambas; Presiden Persatuan Ibu Bapa, Haji Mansor bin Haji Yassin, ahli-ahli Persatuan Ibu Bapa, para ibu bapa, guru-guru serta kakitangan BJIS dan murid-murid.
