Oleh Hajah Saemah Kepli
SERIA, 25 Sept – Sebagai usaha berterusan untuk memeduli masyarakat memerlukan termasuk dalam kalangan warga emas, Kelab Lions Belait telah menganjurkan Program Mesra Bersama Warga Emas di Rumah Orang-orang Tua Pekan Seria di sini, hari ini.
Rombongan lebih 10 orang yang diketuai oleh Chong Yu Khiong itu telah mengadakan beberapa aktiviti sepanjang kunjungan antaranya beramah mesra dengan kalangan warga emas di pusat tersebut.
Di samping itu, kelab tersebut juga telah menyediakan hidangan makan tengah hari bersama warga emas dan menghulurkan sumbangan berbentuk barangan keperluan asasi dan lainnya.
Turut disumbangkan adalah peralatan pemeriksaan tekanan darah dan beberapa jenis keperluan perubatan lainnya sebagai kemudahan yang boleh digunakan di pusat berkenaan.
Selain itu, kek bulan juga dihadiahkan kepada setiap penghuni Rumah Orang-orang Tua berkenaan sebagai memeriahkan sambutan kek bulan yang diraikan oleh kalangan Masyarakat Tiong Hua pada masa ini.
Segala yang disumbangkan adalah hasil kutipan bersama kalangan ahli-ahli kelab tersebut dan rakan-rakan serta keluarga mereka.
Menurut Chong Yu Khiong, program itu juga bertujuan untuk membantu menceriakan kalangan warga emas khususnya mereka yang tidak mempunyai keluarga terdekat dan merupakan antara aktiviti kemasyarakatan kelab itu.