Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 3 Feb – Lebih 20 orang telah menyertai aktiviti memasak yang terkandung dalam salah satu acara Minggu Budaya Cina anjuran Pusat Membeli-Belah KBSentral bersempena Sambutan Tahun Baru Cina 2017 hari ini.
Aktiviti Demo Memasak yang dikendalikan oleh Ketua Cef Hotel Cafe, Sophia dengan dibantu oleh Cef Ismail, diadakan di tingkat pertama pusat tersebut yang turut disertai sama oleh ahli-ahli Persatuan Pertiwi Cawangan Daerah Belait, Kumpulan Sokongan HAWA Hospital Suri Seri Begawan Kuala Belait serta ahli-ahli Biro Wanita Majlis Perundingan Mukim dan Kampung di sini dan juga orang ramai.
Antara masakan yang didemonstrasikan seperti Daging Lembu Pedas Halia, Udang Dumpling Kukus, Keladi Ayam Kekacang dan Udang Mentega Berdaun Bawang.
Bagi menceriakan lagi suasana Sambutan Tahun Baru Cina 2017, KBSentral juga tidak ketinggalan telah menganjurkan pelbagai acara menarik dengan hasrat untuk sama-sama memeriahkan sambutan tersebut bersama para pelanggan mereka.
Pengurus Pemasaran dan Acara KBSentral, Awang Anwar Rosly, memberitahu, kunjungan orang ramai ke pusat berkenaan dalam sama-sama memeriahkan lagi Minggu Budaya Cina adalah amat menggalakkan dengan peserta aktiviti memasak yang dijangkakan disertai oleh kira-kira 10 orang, telah mendapat sambutan baik sehingga bilangannya mencecah lebih 20 penyertaan yang menunjukkan reaksi positif daripada para pesertanya.