BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OKT – Tadika St Andrew menganjurkan Hari Terbuka yang berlangsung dalam suasana penuh keceriaan dengan kehadiran kanak-kanak bersama keluarga masing-masing bagi meneroka dunia pembelajaran awal yang menyeronokkan serta interaktif, baru-baru ini.
Acara tersebut bertujuan memperkenalkan pendekatan pembelajaran tadika berkenaan yang menekankan pengalaman praktikal dan interaktif bagi merangsang minat serta semangat belajar dalam kalangan kanak-kanak.
Suasana ceria jelas terpancar apabila para pelajar cilik meneroka bilik bertema yang dihiasi pelbagai aktiviti pembelajaran menarik, termasuk permainan pendidikan dan sesi kraf tangan yang menggalakkan daya kreativiti serta pemikiran aktif.
Di kawasan luar, stesen aktiviti kreatif dan permainan turut menjadi tumpuan, manakala taman permainan dipenuhi dengan gelak tawa kanak-kanak yang menikmati hari penuh bermakna itu.
Setiap peserta pulang dengan senyuman lebar dan hasil kraf tangan masing-masing sebagai kenangan, melambangkan keterujaan mereka untuk memulakan tahun akademik baharu di Tadika St Andrew.





