TUTONG, 12 NOV – Sebagai tujuan murni bersama untuk terus meningkatkan motivasi dalam diri kanak-kanak istimewa meniti pembelajaran harian mereka, sehubungan itu Persatuan Kanak-kanak Cacat (KACA) cawangan Daerah Tutong telah mengadakan aktiviti Perpustakaan Permainan Bergerak KACA di Pusat KACA cawangan tersebut, baru-baru ini.
Perpustakaan Permainan Bergerak KACA yang telah dilancarkan pada 6 Disember 2018 bersempena Sambutan Hari Ulang Tahun Penubuhan KACA ke-33 dan juga Hari Antarabangsa Orang Kelainan Upaya (OKU) 2018 itu merupakan konsep perpustakaan bergerak yang mengetengahkan pelbagai barangan permainan dan keperluan-keperluan lain yang secara umumnya disumbangkan oleh orang ramai termasuklah golongan ibu bapa atau penjaga kanak-kanak pusat berkenaan dari semasa ke semasa bagi kegunaan kanak-kanak bermain atau melakukan kegiatan menarik ketika berada di pusat-pusat KACA di seluruh negara.
Antara yang hadir menyaksikan aktiviti yang disambut baik oleh kanak-kanak pusat berkenaan ialah Pengarah Urusan Persatuan KACA, Haji Awang Abdul Alim bin Haji Awang Othman, ibu bapa, penjaga, tenaga-tenaga pengajar dan kakitangan pusat tersebut.
Dayang Norjanah binti Haji Mohd Jaya selaku tenaga pengajar pusat berkenaan, turut berkesempatan menaruh harapan mengalu-alukan sokongan orang ramai untuk terus membantu Persatuan KACA bagi sama-sama menambah sebarang alat permainan atau pun barangan keperluan lain tidak kiralah terdiri daripada barangan permainan yang terpakai dari semasa kesemasa.
Adapun aktiviti sedemikian turut diharap mampu menerapkan nilai-nilai terapi positif dalam diri kanak-kanak sekali gus membantu mereka meningkatkan daya komunikasi antara satu sama lain di samping mampu menyesuaikan diri dalam lingkungan persekitaran mereka.