Oleh Yusrin Junaid
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 NOV – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) kelmarin mematahkan kegiatan menawarkan khidmat seks apabila menahan seorang lelaki asing dipercayai ‘bapa ayam’ bersama dua wanita warga asing dalam operasi yang dijalankan di sebuah rumah sewa di kawasan Kampung Salambigar, Daerah Brunei dan Muara.
Lelaki warga Bangladesh berusia 39 tahun, manakala wanita Thailand dan Indonesia masing-masing berusia dalam lingkungan 35 dan 38 tahun diberkas dalam serbuan yang dijalankan oleh Unit Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat, Jabatan Siasatan Jenayah PPDB pada Sabtu lalu.
Hasil pemeriksaan mendapati beberapa barang bukti seperti sejumlah kondom dan wang tunai di lokasi kejadian dipercayai untuk tujuan aktiviti tidak bermoral itu. Kesemua suspek bersama barang bukti dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 294A Kesalahan Menawarkan Khidmat Seks, Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 dan di bawah Akta Perlindungan Wanita dan Kanak-kanak Penggal 120.
