BEIJING, 30 April – Aktiviti kilang di China menjadi perlahan pada April tetapi mengatasi jangkaan, data rasmi menunjukkan hari ini, sementara penganalisis mengingatkan mengenai halangan tatkala pertumbuhan pinjaman merosot.
Indeks Pengurus Pembelian (PMI), pengukur utama keadaan kilang, mencecah 51.4 pada April, lebih rendah daripada 51.5 pada bulan sebelumnya, menurut Biro Statistik Nasional (NBS), tetapi mengatasi 51.3 yang diramalkan dalam tinjauan Bloomberg News.
Bacaan kekal melebihi tanda 50-mata yang memisahkan perkembangan daripada pengecutan.
Angka tersebut keluar tatkala perbalahan perdagangan di antara China dan Amerika Syarikat (AS) telah menyurami sektor pengeluaran negara itu, yang berorientasikan eksport, dengan kedua-dua pihak mengugut akan mengenakan tarif yang tinggi ke atas barangan bernilai berbilion dolar.
“Industri pengeluaran telah mengekalkan momentum yang semakin meningkat,” kata penganalisis NBS, Zhao Qinghe dalam satu kenyataan.
Sementara tahap pengeluaran adalah sama seperti bulan lalu, tempahan baru bertumbuh pada kadar yang lebih perlahan, data menunjukkan. Namun jurang di antara bekalan dan permintaan adalah ‘pada tahap yang rendah’, menurut kenyataan itu lagi.
Namun seorang ahli ekonomi di Commerzbank AG di Singapura, Zhou Hao, mengingatkan, “Ekonomi sedang menghadapi tekanan negatif. Banyak data makro terbaru mencadangkan trend yang merosot, namun pada umumnya PMI sedang meningkat. Sentimen adalah stabil.”
Data menunjukkan keadaan ekonomi “masih sihat pada April,” kata Julian Evans-Pritchard daripada Capital Economics dalam satu nota penyelidikan, menambah “sokongan kepada ekonomi daripada pelonggaran pencemaran seharusnya telah mula pulih sekarang.” – AFP