BANGKOK, 2 JAN – Tinjauan pengurus kilang di China menunjukkan pembuatan menguncup pada Disember sebagai petanda terbaharu ekonomi kedua terbesar dunia itu masih lembap.
Indeks pengurus pembelian rasmi, atau PMI, jatuh kepada 49 bulan lepas dalam apa yang dikatakan pegawai sebagai bukti permintaan yang lemah, lapor Biro Perangkaan Kebangsaan pada Ahad.
Ia adalah penguncupan bulan ketiga berturut-turut. PMI berada pada skala sehingga 100 di mana 50 menandakan titik pemisah antara pengembangan dan penguncupan.
Indeks itu telah jatuh dalam lapan daripada sembilan bulan yang lalu, dengan peningkatan hanya dicatat pada bulan September.
Pada November, indeks mencecah 49.4, turun daripada 49.5 bulan sebelumnya.
Walaupun kelemahan berlarutan yang tidak dijangka selepas pandemik, ekonomi China berkembang pada kadar 5.2 peratus pada tiga suku pertama tahun dan menunjukkan tanda-tanda peningkatan pada bulan November, dengan pengeluaran kilang dan jualan runcit meningkat.
Dalam beberapa bulan lalu, kerajaan telah menambah perbelanjaan untuk pembinaan pelabuhan dan infrastruktur lain, mengurangkan kadar faedah dan mengurangkan sekatan ke atas pembelian rumah dalam usaha merangsang permintaan domestik yang menurut ahli ekonomi diperlukan untuk mengekalkan pertumbuhan. – AP
