Wednesday, May 14, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Aktiviti kilang China merosot

    BEIJING, 31 Okt – Aktiviti kilang China menjadi perlahan pada Oktober, data rasmi menunjukkan hari ini, menambah kepada senarai berita buruk untuk syarikat gergasi Asia tatkala ia bergelut untuk mengekalkan momentum ekonomi ketika menghadapi tarif Amerika Syarikat dan mata wang yuan yang lemah.

    Indeks Pembelian Pengurus (PMI), pengukur utama keadaan kilang, mencecah 50.2 untuk bulan itu, merosot daripada 50.8 pada September, kata Biro Statistik Nasional.

    Angka tersebut berada di bawah bacaan 50.6 yang diramalkan dalam tinjauan Bloomberg News ke atas ahli ekonomi, walaupun ia masih melebihi tanda 50 mata yang memisahkan perkembangan daripada pengecutan.

    Angka tersebut adalah petanda terbaharu yang menunjukkan ekonomi kedua terbesar dunia sedang kehilangan momentum tatkala ia menghadapi cabaran di dalam dan luar negara, daripada perang perniagaan dengan AS kepada pertambahan hutang.

    “Kesemua angka daripada PMI China yang dikeluarkan hari ini mengesahkan kemerosotan meluas dalam aktiviti ekonomi,” kata Yaymond Yeung daripada ANZ dalam satu nota penyelidikan.

    Seorang pekerja kilang ketika bertugas di sebuah kilang tekstil di daerah Xiayi di Shangqiu, Wilayah Henan. – AFP

    “Keadaan ekonomi yang menghadapi sektor swasta China adalah jauh lebih teruk daripada apa yang dicadangkan oleh angka utama,” katanya, mendapati analisis angka yang lebih terperinci menunjukkan pengeluaran oleh perniagaan kecil dan sederhana sebenarnya mengecut pada Oktober.

    Pertumbuhan ekonomi China menjadi perlahan kepada 6.5 peratus pada suku ketiga, merosot daripada 6.8 peratus pada tahun ini.

    Jumlah tersebut adalah sejajar dengan sasaran tahunan Beijing. Namun tekanan negatif mungkin menjejas matlamat politik utama negara untuk membasmi kemiskinan pada tahun 2020 dan membina ‘masyarakat yang makmur’.

    Tarif Amerika ke atas hampir kesemua import China telah menjejas keyakinan dalam keupayaan Beijing untuk mengekalkan tahap pertumbuhan sekarang.

    Penganalisis berkata syarikat negara dan kerajaan tempatan mungkin melengah-lengahkan perkembangan seterusnya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda