TOKYO, 1 SEPT – Aktiviti kilang Jepun menyusut Ogos lalu berikutan penurunan tempahan dari luar negara, menurut tinjauan sektor swasta kelmarin, apabila kesan tarif Amerika Syarikat (AS) mula menjejas sektor perkilangan yang bergantung kepada eksport negara itu.
Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pengeluaran Jepun Global S&P berada pada 49.7 pada Ogos, yang mengatasi bacaan 49.9 tetapi bertambah baik daripada 48.9 pada Julai.
Jumlah itu kekal di bawah 50.0, yang menunjukkan penguncupan, selama dua bulan berturut-turut.
Walaupun kadar penguncupan keluaran kilang adalah perlahan dan menyumbang kepada peningkatan indeks utama, tempahan baharu terus merosot pada kadar yang sama seperti Julai, memandangkan keadaan pasaran yang lemah, tinjauan itu menunjukkan.
“Kebimbangan khusus adalah penurunan drastik dalam perniagaan eksport baharu, jatuh pada kadar paling ketara dalam hampir satu setengah tahun,” kata Pengarah Bersekutu Ekonomi di S&P Global Market Intelligence, Annabel Fiddes.
Penurunan tempahan baharu dari luar negara adalah yang terpantas sejak Mac 2024 dan syarikat merujuk kepada permintaan yang lebih lemah daripada pasaran utama seperti China, Eropah dan AS, menurut tinjauan itu.
Pada Julai, eksport Jepun mencatatkan kemerosotan terbesar dalam tempoh lebih empat tahun diterajui oleh penurunan eksport kereta ke AS dan pengeluaran perindustrian jatuh lebih daripada jangkaan, data kerajaan menunjukkan. – Reuters


