NARATHIWAT, 2 NOV – Aktiviti mengorek pasir secara haram di sepanjang Sungai Golok dikenal pasti antara punca utama hakisan tanah serta perubahan aliran sungai, sekali gus boleh menjejaskan kestabilan kawasan yang menjadi sempadan di antara Malaysia dan Thailand.
Timbalan Gabenor Wilayah, Narathiwat Wichan Chaisetsumpan berkata, Sungai Golok ialah kawasan panas bagi aktiviti itu yang kebanyakannya berlaku berhampiran sempadan Malaysia, termasuk daerah Waeng.
Beliau berkata, pihak berkuasa Thailand telah memperketat pemantauan terhadap kegiatan haram berkenaan, dengan beberapa tindakan segera diambil susulan maklumat daripada pihak berkuasa Malaysia mengenai penggunaan jentera berat di sepanjang sungai itu.
“Dalam insiden terbaharu di daerah Waeng, risikan dan maklumat daripada Malaysia membawa kepada rampasan dua jentolak serta penahanan beberapa individu yang dipercayai terlibat dalam aktiviti haram berkenaan.
“Perkembangan itu mencerminkan tahap kerjasama yang kukuh antara agensi keselamatan kedua-dua negara dalam membanteras jenayah alam sekitar rentas sempadan,” katanya kepada media Malaysia melalui jurubahasa dalam satu temu bual khas, baru-baru ini.
Wichan berkata, pelaksanaan usaha memelihara kawasan sempadan tidak boleh secara bersendirian, sebaliknya memerlukan kerjasama rapat, komunikasi berterusan dan operasi lapangan secara bersepadu antara anggota keselamatan kedua-dua pihak.
Sementara itu, mengulas isu penyeludupan dadah di sepanjang Sungai Golok, beliau berkata wilayah berkenaan berkongsi sempadan melalui beberapa daerah termasuk Waeng, Sukhirin, Si Sakhon dan Chanae, meliputi ratusan kilometer (km), kira-kira 95 km melalui sungai berkenaan serta kawasan pergunungan. – Bernama

