Oleh Amri HTZ
Aktiviti mendaki dan mengembara, merupakan aktiviti luar yang sangat menyeronokkan. Pengalaman yang diperoleh daripada aktiviti tersebut memainkan peranan penting dalam kehidupan. Dengan aktiviti lasak tersebut, setentunya seseorang akan mudah mendapatkan kecederaan dan sebagainya. Sebagai persiapan, alat pertolongan cemas perlu sentiasa disimpan di tempat yang bersesuaian. Ikuti langkah mudah untuk mereka kotak alat cemas kalis air yang penting selain boleh menyimpan peralatan ikhtiar hidup.
Barangan yang diperlukan
Bagi mereka kotak alat pertolongan cemas kalis air ini, beberapa barangan yang diperlukan ialah penyambung paip PVC berukuran 3 atau 4 inci, paip PVC berukuran 2.5 inci, dua penutup bahagian hujung paip PVC (untuk paip 2.5 inci), gam paip PVC, gergaji besi, kertas pasir, kertas tisu, pen penanda berwarna merah, pita perekat, bekas berisi air dan skala angkup.
Langkah yang perlu dilakukan
Kotak alat pertolongan cemas yang cukup mudah ini mempunyai banyak kelebihan memandangkan ia mampu menyimpan pelbagai peralatan kecemasan tertakluk kepada ukuran paip PVC yang digunakan. Selain mempunyai ruangan yang mencukupi, paip PVC yang digunakan tersebut juga tahan lasak daripada impak yang kuat dengan tambahan 100 peratus kalis air.
Ia begitu bermanfaat kepada sesiapa sahaja terutama mereka yang gemar melakukan aktiviti luar seperti mengembara, perkhemahan, pendakian dan sebagainya.
Selain peralatan kecemasan, kotak tersebut juga boleh digunakan untuk menyimpan kelengkapan ikhtiar hidup (survival kit) seperti barangan pancing, mancis, pemula api (fire starter), pisau berukuran kecil, gergaji busur, kompas, peta, wisel, tali, lampu, bateri dan sebagainya. Kesemua peralatan kecemasan yang penting, yang memerlukan ia sentiasa kering, boleh disimpan ke dalam kotak tersebut sebagai persediaan jika berlaku situasi yang memerlukan ia untuk digunakan.



Mulakan proses rekaan dengan memilih ukuran penyambung paip yang sesuai dengan paip PVC yang digunakan. Penyambung paip PVC tersebut perlulah sama ukurannya dengan paip PVC yang akan digunakan pada bahagian hujung kedua-duanya.
Ini adalah bagi memastikan anda tidak perlu membuat pelbagai pengubahsuaian yang setentunya membebankan anda. Periksa keadaan getah pada bahagian dalam kedua-dua bahagian hujung penyambung bagi memastikan ia tidak koyak dan menyebabkannya boleh dimasuki air.
Langkah seterusnya memerlukan anda untuk memotong paip PVC yang disediakan. Sebelum itu, ukur kedalaman penutup paip PVC menggunakan skala angkup.
Setelah mendapatkan ukuran ke dalaman penutup tersebut, potongkan paip PVC dengan melebihkan ukuran 5sm daripada ukuran yang didapatkan melalui kedalaman penutup paip.
Setelah menandakan ukuran pada permukaan paip, tandakan kawasan yang akan dipotong menggunakan pita perekat.
Tujuan utama bahagian tersebut ditandakan menggunakan pita perekat adalah bagi memastikan langkah pemotongan paip dapat dilakukan dengan sempurna dan tepat. Pada kebiasaannya, tanpa penanda pada keseluruhan kawasan pemotongan, akan berlaku pemotongan yang tidak sempurna dan tepat di mana bilah gergaji yang lembut memudahkannya untuk melentuk sekali gus menyebabkan potongan menyenget.
Selesai memotongkan paip PVC tersebut, ratakan permukaan potongan menggunakan kertas pasir. Ini bagi memastikan keseluruhan permukaan potongan rata yang membolehkan anda memasukkan penutup paip dengan mudah. Potong dua bahagian paip PVC dengan ukuran yang sama untuk disambungkan pada kedua-dua bahagian hujung penyambung paip.
Setelah itu sapukan salah satu bahagian paip yang telah dipotong menggunakan gam paip.
Anda mempunyai masa lebih kurang seminit untuk mencantumkan permukaan yang telah disapukan gam sebelum ia mengering. Pasangkan penutup paip pada bahagian yang telah disapukan gam dan berikan tekanan pada permukaan yang cukup kukuh bagi memastikan potongan paip memasuki keluruhan ruangan penutup paip.
Lakukan langkah yang sama untuk potongan paip yang kedua.
Berikan masa lebih kurang 5 minit untuk gam mengering. Setelah itu pasangkan bahagian hujung paip pada lubang penyambung paip dengan cara melonggarkan tudung penyambung dan kemudian mengetatkannya.
Bagi memastikan kotak alat pertolongan cemas tersebut kedap air, rendamkan kotak tersebut ke dalam bekas berisi air dan tumpukan perhatian di kawasan cantuman. Jika terhasilnya buih semasa direndamkan, ini membuktikan terdapat kebocoran pada bahagian tersebut.
Keringkan dan sapukan gam paip pada permukaan tersebut dan berikan masa untuknya mengering. Manakala jika buih terhasil di kawasan penyambung paip, anda cuma perlu mengetatkan lagi bahagian tersebut.
Langkah terakhir adalah menyimpankan kesemua peralatan kecemasan yang diperlukan semasa melakukan aktiviti luar ke dalam kotak tersebut. Isikan seberapa banyak peralatan yang dirasakan sesuai dan penting untuk dimiliki kemudian tempatkannya ke dalam beg pengembaraan anda.
Selain itu, ia juga sesuai untuk ditempatkan ke dalam kenderaan sebagai persediaan jika berlakunya sesuatu kecemasan.