OIeh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OKT – Beberapa acara telah pun dirancang dan disusun rapi bagi menjayakan dan memeriahkan lagi Festival Disember Brunei (BDF) yang akan diadakan sepanjang Disember depan.
Antara yang akan menganjurkan acara semasa festival itu ialah Big BWN Project, OAM Origin Management, Management SGA Media & Marketing, EICO Enterprise, Aiz Event Planner & Management dan juga Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).
Para penganjur aktiviti berkenaan telah mengongsikan aktiviti yang akan mereka adakan semasa sidang media yang berlangsung di Bilik VIP, Tingkat 1, Bangunan Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), di sini, hari ini.
Pengasas Big BWN Project, Dayang Noorhafizah binti Haji Rashid di mengongsikan bahawa bagi menggalakkan orang ramai untuk menyokong masyarakat dan perniagaan tempatan, bertepatan dengan tema mereka iaitu ‘Sokong Tempatan, Makanan Tempatan dan Beli Tempatan’, mereka bakal mengadakan enam jenis acara dengan enam tema yang berlainan.
Antaranya adalah The Big Car Boot Sale yang akan diadakan di Kontena Park, Charity International Food Fair dengan Kelab Wanita Antarabangsa (IWC) Brunei untuk Pusat Ehsan, Reka – Festival Kebudayaan dan Kesenian yang akan diadakan di Jalan Sultan ‘Omar Ali Saifuddien dengan melibatkan tujuh puak jati Brunei dan kampung-kampung berlainan.
Selain itu, mereka juga akan mengadakan Play – turning fiction into reality, Big BWN Cookout dan BWN Arena 2019 yang akan mengumpulkan banyak aktiviti dan acara sukan dari seluruh negara di bawah satu bumbung.

OAM Origin Management pula akan menganjurkan Brunei Film Blitz 2019 yang akan diisikan dengan tayangan filem, bengkel-bengkel latihan oleh pembuat filem jemputan dari luar negara, dan The 96 Hours Blitz yang akan diadakan di Institusi Mahakarya of the Arts Asia, Plaza Athirah.
Selain itu, mereka juga akan menganjurkan pertandingan filem kategori terbuka, bagi filem yang dihasilkan seawal Januari 2019, kategori 96 jam dan kategori Islamik yang juga terbuka kepada orang ramai. Pengurus Besar Management SGA Media & Marketing, Danny Tay pula memaklumkan bahawa syarikatnya akan mengendalikan dua acara iaitu Festival BandarKu Ceria yang akan diadakan di ibu negara sejurus selepas pelancaran Festival Disember Brunei. Di samping itu, Festival Muzik dan pertandingan nyanyian Stardom Quest Season 4 akan diadakan di sepanjang Disember. Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU pula akan mengadakan Perkhemahan Belia Islam yang akan diadakan pada 6 hingga 8 Disember.
Ketua Unit Belia, Bahagian Imarah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Haji Yusli bin Haji Ashli menjelaskan bahawa sepanjang perkhemahan tersebut, ia melibatkan belia-belia masjid di keempat-empat daerah. EICO Enterprise pula akan menganjurkan Startup Weekend Brunei Entrepreneur yang bakal diadakan di sekitar ibu negara.
Satu lagi acara yang bakal memeriahkan BDF 2019 ialah Charity Food Festival dan Weekend Street Night Market yang akan dianjurkan oleh Aiz Event Planner Management.