Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JULAI– Dalam usaha menerapkan nilai-nilai bertanggungjawab, cinta kepada raja dan berjiwa patriotik dalam kalangan pelajar, Sekolah Rendah Dato Basir (SRDB) baru-baru ini telah mengadakan Fun Day sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-77.
Acara yang berlangsung di kawasan sekolah berkenaan yang melibatkan murid-murid, guru-guru dan ibu bapa itu dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti interaksi, riadah dan jual-jualan.
Dengan adanya aktiviti seumpama itu, ia juga diharap dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara pihak sekolah, ibu bapa dan juga warga sekitarnya di samping mewujudkan gaya hidup sihat dan celik kewangan dalam kalangan murid.
Selain itu, murid-murid sekolah berkenaan turut membentuk angka 77 di kawasan padang sekolah diikuti dengan barisan lalu dari rumah-rumah sukan.