Oleh Nour Maghfirah –
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 SEPT – Seorang warga Bangladesh berusia 35 tahun, Md Ataur Rahman bakal dibicarakan pada Disember selepas menafikan tuduhan bersubahat dengan kegiatan pelacuran yang dikemukakan oleh Pegawai Pendakwa Ahmad Firdaus Mohammad.
Md Ataur Rahman didakwa membantu Oranee Suila, seorang wanita warga Thailand berusia 53 tahun, mendapatkan pelanggan untuk tiga orang wanita Thailand yang terlibat dalam aktiviti pelacuran di Brunei.
Suila, yang mengaku bersalah atas pertuduhan menyara hidup dengan hasil pelacuran, telah pun dijatuhkan hukuman penjara dua tahun. Dia mengaku mengatur perkhidmatan pelacuran untuk wanita-wanita tersebut dan mengumpul sebahagian daripada pendapatan mereka.
Salah seorang daripada wanita itu memberi perkhidmatan kepada kira-kira 120 pelanggan selama beberapa bulan, dengan Suila menerima sebahagian daripada pembayaran tersebut.
Majistret Abdul ‘Azim bin Othman kelmarin menetapkan tarikh perbicaraan pada 2 hingga 14 Disember.
