Tuesday, January 28, 2025
22.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Aktiviti pembuatan China menurun buat kali pertama dalam tempoh empat bulan

    BEIJING, 27 JAN – Aktiviti pembuatan China menyusut pada Januari buat kali pertama dalam tempoh empat bulan, menurut data rasmi hari ini ketika Beijing bergelut untuk mengekalkan pemulihan ekonomi kedua terbesar dunia itu.

    Penggubal dasar telah berjuang untuk memulihkan kemerosotan pasca pandemik yang didorong oleh krisis dalam sektor hartanah, penggunaan yang lemah dan hutang kerajaan yang tinggi.

    Indeks Pengurus Pembelian (PMI) satu ukuran utama keluaran industri  menunjukkan bacaan 49.1 pada bulan Disember, menurut Biro Perangkaan Kebangsaan (NBS).

    Bacaan di atas 50 menunjukkan pengembangan, manakala apa-apa di bawah menunjukkan penguncupan.

    PMI pernah berada pada 50.1 pada Disember lalu, bulan ketiga berturut-turut dalam zon positif selepas menamatkan penurunan selama enam bulan pada Oktober.

    Kemerosotan berkenaan telah, “dijejaskan oleh cuti Tahun Baru Cina yang semakin hampir dan pekerja perniagaan yang pulang ke kampung halaman mereka”, kata ahli perangkaan NBS terkemuka, Zhao Qinghe.

    Kedua-dua pengeluaran dan permintaan semakin perlahan menjelang cuti umum lapan hari dari 28 Januari hingga 4 Februari, kata Zhao.

    Beijing telah mendedahkan beberapa langkah agresif dalam beberapa bulan kebelakangan ini bertujuan untuk meningkatkan pertumbuhan termasuk mengurangkan kadar faedah, membatalkan sekatan ke atas pembelian rumah dan meringankan beban hutang kerajaan tempatan.

    Tetapi ahli-ahli ekonomi telah memberi amaran bahawa lebih banyak rangsangan fiskal langsung yang bertujuan untuk menyokong penggunaan domestik diperlukan untuk ekonomi China pulih sepenuhnya daripada pandemik Covid-19. – AFP

    Orang ramai tiba di stesen kereta api selatan Guangzhou, di selatan China pada 26 Januari. Aktiviti pembuatan China menurun. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda