Saturday, January 4, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Aktiviti pembuatan di China meningkat

    BEIJING, 31 DIS – Aktiviti pembuatan di China meningkat pada Disember untuk bulan ketiga berturut-turut, menurut data rasmi yang dikeluarkan hari ini, ketika pemimpin-pemimpin berusaha untuk memulihkan kemerosotan ekonomi kedua terbesar di dunia itu.

    Negara tersebut bergelut untuk keluar daripada kemelesetan yang dicetuskan oleh krisis pasaran hartanah, kelemahan penggunaan dan hutang kerajaan yang melambung tinggi.

    Indeks Pengurus Pembelian (PMI) China – pengukur utama output industri – mencatatkan 50.1 pada bulan Disember, menandakan peningkatan tiga bulan berturut-turut, menurut Biro Statistik Kebangsaan.

    Angka hari ini lebih rendah daripada ramalan penganalisis Bloomberg sebanyak 50.2, tetapi masih melebihi 50, yang menunjukkan pengembangan dalam aktiviti pembuatan. Bacaan di bawah angka itu menunjukkan pengecutan.

    Petunjuk utama itu merosot selama enam bulan pada pertengahan tahun sebelum kembali ke julat pengembangan pada bulan Oktober.

    Seorang pekerja sedang mengendalikan bahagian-bahagian di sebuah syarikat pembuatan di Hangzhou, wilayah Zhejiang di timur China kelmarin. – AFP

    Beijing telah memperkenalkan pelbagai langkah agresif dalam beberapa bulan kebelakangan ini untuk merangsang pertumbuhan, termasuk menurunkan kadar faedah, membatalkan sekatan pembelian rumah dan meringankan beban hutang kerajaan tempatan.

    Namun, ahli ekonomi memberi amaran bahawa rangsangan fiskal secara langsung, yang bertujuan menyokong penggunaan domestik, diperlukan untuk memulihkan sepenuhnya keadaan ekonomi China, yang terus bergelut untuk pulih sepenuhnya sejak pandemik COVID-19.

    PMI bukan pembuatan, yang mengukur aktiviti dalam sektor perkhidmatan, mencatatkan bacaan 52.2 pada bulan Disember, meningkat daripada 50 pada bulan November.

    “PMI rasmi menunjukkan bahawa ekonomi memperoleh momentum pada bulan Disember, didorong oleh pertumbuhan yang lebih pesat dalam sektor perkhidmatan dan pembinaan,” tulis Gabriel Ng dari Capital Economics dalam nota kepada pelanggan, hari ini.

    “Sokongan dasar yang meningkat pada penghujung tahun jelas memberikan rangsangan jangka pendek kepada pertumbuhan,” kata Ng. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda