Monday, July 14, 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Aktiviti pemindahan rumput laut pulihara habitat marin

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 MEI – Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) melalui Jabatan Perikanan dengan kerjasama daripada Syarikat DHI Water & Environment (B) Sdn Bhd, Universiti Brunei Darussalam (UBD), serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO), telah berjaya melaksanakan aktiviti pemindahan rumput laut di Pulau Bedukang.

    Inisiatif tersebut mewakili usaha kolaboratif untuk melindungi dan memulihkan ekosistem marin Brunei Darussalam, di samping meningkatkan kesedaran awam mengenai peranan habitat karbon biru ini di dalam menangani perubahan iklim.

    Pelancaran aktiviti itu telah disempurnakan oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.

    Turut hadir ialah pesuruhjaya-pesuruhjaya tinggi dan duta-duta besar, setiausaha tetap dan timbalan-timbalan setiausaha tetap serta ketua-ketua jabatan dari KSSUP dan wakil dari pelbagai agensi kerajaan.

    Usaha bersama tersebut mencerminkan komitmen bersama terhadap kelestarian alam sekitar dan pemeliharaan habitat marin yang penting. Rumput laut memainkan peranan penting dalam ekosistem marin sebagai kawasan pembiakan, perlindungan dan sumber makanan kepada pelbagai spesies marin. Walau bagaimanapun, habitat ini semakin terancam akibat perubahan iklim dan pembangunan di kawasan pesisir pantai.

    Menyedari kepentingan ekologi rumput laut, inisiatif ini memfokuskan kepada pemindahan rumput-rumput laut yang sihat dari kawasan terjejas ke zon perlindungan di Pulau Bedukang. Proses ini dirancang dengan teliti bagi memastikan kejayaan pemindahan dan penyesuaian habitat di lokasi baharu adalah bersesuaian.

    Rumput laut yang tumbuh dengan baik dan sihat bukan sahaja menyumbang kepada kebersihan air laut dan penyerapan karbon melalui ekosistem karbon biru, malah membantu menstabilkan dasar laut dan mengurangkan hakisan akibat ombak dan arus.

    Usaha itu turut menyokong keseimbangan alam sekitar dan memainkan peranan penting dalam mitigasi perubahan iklim.

    KSSUP melalui Jabatan Perikanan akan terus menyokong amalan lestari dan projek pemuliharaan sumber marin negara untuk generasi akan datang. Usaha bersama ini diharap dapat mewujudkan lautan yang lebih sihat dan pesisir pantai yang berdaya tahan untuk generasi sekarang dan masa hadapan.

    Yang Berhormat Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan turut terlibat dalam aktiviti pemindahan rumput laut yang dijalankan di Pulau Bedukang, kelmarin. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Proses pemindahan rumput laut dijalankan secara rapi di pulau tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda