BOSTON – Perancangan mudah untuk menarik lebih ramai orang menikmati aktiviti luar pada tahun baharu telah menjadi pergerakan seluruh negara selepas pendakian di taman Massachusetts lebih tiga dekad lalu.
Hanya 380 orang menyertai Pendakian Hari Pertama pada tahun 1992 di Blue Hills Reservation seluas hampir 7,000 ekar di selatan Boston.
Pada Ahad lalu, puluhan ribu orang mengambil bahagian dalam Pendakian Hari Pertama di ratusan taman di semua 50 negeri.
Berjalan pantas adalah cara terbaik untuk memulakan tahun baharu dengan betul secara literal dan keluar, menikmati alam semula jadi, meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan dan mungkin mula bekerja dengan azam tahun baharu itu untuk mendapatkan bentuk badan, kata pegawai taman dan peserta.
“Ini semua tentang minda, badan dan jiwa,” kata Rodney Franklin, pengarah taman di Jabatan Taman dan Hidupan Liar Texas.


Mendiang Patrick Flynn, bekas penyelia di Blue Hills, adalah perintis rancangan asal.
“Dia mahukan cara untuk membawa orang ramai ke taman pada musim sejuk kerana begitu ramai orang menganggap taman hanya tempat musim panas,” kata Priscilla Geigis, timbalan pesuruhjaya untuk pemuliharaan dan pengawasan sumber di Jabatan Pemuliharaan dan Rekreasi Massachusetts.
Steve Olanoff, 77, mengambil bahagian dalam acara sulung itu di Blue Hills pada tahun 1992 dan kini menjadi sukarelawan yang membantu pengembara di sepanjang denai taman setiap tahun.
“Pada masa itu, tiada apa yang perlu dilakukan pada Hari tahun baharu,” katanya.
Selama bertahun-tahun, lebih banyak taman negeri Massachusetts menyertainya. Kemudian, taman di negeri lain turut serta.
Pada tahun 2012, Pendakian Hari Pertama tersebar ke seluruh negara apabila Persatuan Kebangsaan Pengarah Taman Negeri menyokong idea ter-sebut.
Beberapa negeri telah menambah kelainan mereka sendiri. Di Taman Negeri Tasik Ink di Burnet County, Texas, barat laut Austin, para peserta menyertai larian hari pertama, menunggang basikal, atau berkayak.
Kasut salji atau ski merentas desa mungkin diperlukan di beberapa lokasi Oregon, kata Jason Resch, pengurus pemasaran untuk Jabatan Taman dan Rekreasi Oregon. Taman Negeri Elijah Bristow berhampiran Eugene malah menawarkan menunggang kuda pada hari pertama.
Beberapa pendakian dipandu oleh renjer taman atau sukarelawan yang mengajar tentang sejarah, geografi, flora dan fauna taman tertentu. Itu seterusnya menggalakkan pengawasan, dan komitmen untuk melindungi taman dan kawasan lapang, kata Geigis. Keluarga yang mempunyai anak damit, warga emas dan orang dengan anjing mereka telah mengambil bahagian dalam Pendakian Hari Pertama di Hutan Negeri Chester Blandford di Massachusetts, kata Elizabeth Massa, presiden Western Mass Hilltown Hikers, yang memandu perjalanan sejauh 1.5 batu.
“Jika azam tahun baharu awda adalah lebih banyak bersenam, menurunkan berat badan, menjadi lebih sihat, maka ini adalah peluang awda,” katanya. – AP

