MERUJUK kepada matlamat golongan wanita di Amerika Syarikat (AS) yang berusaha untuk meningkatkan peranan mereka dalam bidang politik, hak kesaksamaan dan mengelakkan diri dari ancaman gangguan seksual, Pasukan Pengakap Perempuan telah berusaha melakukan pelbagai strategi bagi misi untuk menjayakan impian itu.
Mereka telah merekrut selebriti popular seperti Queen Latifah untuk menceritakan pengalaman yang dilalui oleh alumni Pasukan Pengakap Perempuan seperti Venus Williams, Katie Couric dan Meghan Markle.
“Kehidupan setentunya akan terasa lebih bermakna dengan menyertai Pasukan Pengakap Perempuan dan cinta Putera Harry pada seorang wanita yang dilengkapi dengan pelbagai kemahiran setentunya merupakan satu pilihan yang tepat,” sebagaimana yang dipetik dalam paparan yang dikongsikan di blog Pasukan Pengakap Perempuan.
Justeru, usaha bagi meningkatkan promosi melalui penubuhan pelbagai aktiviti menarik itu merupakan satu cabaran terutama dari sudut kurikulum bagi menghindarkan Pasukan Pengakap Perempuan ini bukan hanya sekadar satu aktiviti berkhemah dan membuat biskut.
Malah, ahli jawatan kuasa juga telah berusaha dalam mencari pelbagai alternatif untuk memastikan ia terus dipandang tinggi sebagaimana dengan Pasukan Pengakap Lelaki.

“Secara keseluruhannya, kanak-kanak dan remaja perempuan harus dipersiapkan dengan sikap keyakinan yang tinggi, keberanian, berdikari dan sentiasa merebut pelbagai peluang yang bertujuan untuk meningkatkan prestasi kehidupan mereka. Sekali gus melahirkan kaum wanita yang berkaliber, berdaya saing dan memiliki semangat kepimpinan khususnya bagi menentukan keadaan masyarakat di masa hadapan,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif Pengakap Perempuan di Western Washington, Megan Ferland.
Salah satu cabaran utama yang dihadapi adalah stereotaip yang secara tidak langsung turut mempengaruhi persepsi orang ramai.
“Kebanyakan masyarakat hanya beranggapan ahli dalam Pasukan Pengakap Perempuan ini sebagai sekumpulan kanak-kanak dan remaja perempuan yang memiliki keupayaan untuk menjual biskut dan membuat rantai. Hakikatnya, ia adalah lebih daripada itu,” jelas Ferland.
Dia menekankan bahawa kebanyakan ahli Pasukan Pengakap Perempuan ini juga mengakui berasa cukup seronok ketika menyertai pelbagai aktiviti mencabar seperti melibatkan diri dalam bidang robotik, mendaki gunung, menyertai khidmat masyarakat dan banyak lagi selain menjual biskut yang merupakan satu aktiviti yang cukup sinonim dengan pasukan itu.
“Saya yakin bahawa Pasukan Pengakap Perempuan ini adalah organisasi kepimpinan terbaik di dunia khususnya dalam membangkitkan semangat dan melatih kemahiran diri bagi seorang perempuan,” jelas Ketua Pegawai Pengakap Perempuan di Central Maryland, Violet Apple.
Bagaimanapun jumlah penyertaan dalam kalangan ahli Pasukan Pengakap Lelaki dan Perempuan serta beberapa organisasi belia termasuk liga sukan dikatakan semakin menurun dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Antara punca yang dikenal pasti menyebabkan terjadinya perkara tersebut adalah kurangnya penglibatan keluarga dan kecenderungan belia pada masa ini yang lebih selesa memilih untuk aktif di media sosial dan meluangkan waktu dengan permainan video.
Pada tahun 2003, Pasukan Pengakap Perempuan dilaporkan memiliki seramai 2.9 juta orang ahli terdiri dari kanak-kanak dan remaja serta 900,000 orang terdiri dari golongan dewasa dan ia nyata jauh berbeza pada masa ini apabila ia hanya memiliki seramai 1.76 juta orang ahli terdiri dari kanak-kanak dan remaja serta 780,000 orang golongan dewasa.



Lebih menarik lagi apabila Pasukan Pengakap Perempuan kini juga berjaya menarik penyertaan terdiri dari pelbagai bangsa seperti Hispanik, Afrika-Amerika, Korea dan bangsa lain.
Denise Nowack yang menyelia program perekrutan menjelaskan bahawa Pasukan Pengakap Perempuan di LA telah memutuskan untuk menampung kos asas tahun pertama bagi ahli baru termasuk yuran keahlian dan pakaian seragam bagi meringankan beban kewangan.
“Setentunya ia adalah sesuatu perkara yang menyedihkan apabila melihat jumlah penyertaan ahli yang semakin merosot,” jelas Pemimpin Pasukan Pengakap di pinggir McDonough, Atlanta, Asha Menon.
Di Chicago, penerbit TV, Craig Harris telah berusaha untuk menggalakkan penyertaan kaum lelaki yang berstatus bapa untuk menyertai Pasukan Pengakap Perempuan selaku sukarelawan, khususnya bagi yang memiliki anak perempuan dan menyertai pasukan tersebut.
Harris mula menyertai pasukan itu selaku sukaralewan sejak 14 tahun lalu ketika anak sulungnya yang pada awalnya memiliki sifat pemalu telah menyertai pasukan itu di usia seawal lima tahun. Berkat latihan dan aktiviti yang disertai telah berjaya meningkatkan keyakinan anak perempuannya yang kini mengikuti pengajian dalam sebuah kolej itu.
Sementara itu, anak perempuan Harris yang berusia 11 tahun pula terus aktif menyertai Pasukan Pengakap Perempuan dan terus menyertai pelbagai aktiviti yang diminatinya terutama dalam bidang Sains.
“Dalam kesibukan diri melaksanakan tugasan harian, saya juga turut mengatur masa tertentu bagi melibatkan diri dalam aktiviti yang dikelolakan oleh Pasukan Pengakap Perempuan ini. Sejujurnya, saya berasa sangat seronok ketika melihat perkembangan positif yang ditonjolkan oleh anak sulung saya setelah menyertai pasukan pengakap ini,” jelas Harris.
Di antara kaum ibu yang turut meluangkan masa untuk menjadi sukarelawan pasukan ini di samping turut sibuk melakukan tugasan lain adalah Audra Fordin. Fordin merupakan pemilik premis perniagaan pembaik pulih automatif di New York.


Dengan kemahiran yang dimilikinya, dia telah mengasaskan inisiatif pendidikan automatif di kalangan wanita dan turut mengetuai beberapa aktiviti yang disertai oleh anak perempuannya dalam Pasukan Pengakap Perempuan itu.
“Sesetengah belia perempuan kurang berkeyakinan bahawa mereka memiliki keupayaan yang berjaya dicapai oleh kaum lelaki. Namun berkat sokongan dan kerjasama yang diberikan secara berpasukan setentunya ia turut membantu dalam membangkitkan semangat kejayaan itu,” jelas Fordin.
Reeny Boutros, 18, dari Wichita, Kansas mula menyertai Pasukan Pengakap Perempuan seawal usia lima tahun.
Dia menjelaskan bahawa pengalaman yang diperolehinya ketika menyertai pasukan pengakap itu sedikit sebanyak membantu dalam meningkatkan kemahiran dan keyakinan dalam dirinya, sekali gus mendorong dirinya untuk meneruskan pengajian dalam bidang Sains Komputer di Universiti Stanford.
Boutros merupakan seorang penerima Anugerah Emas, yang merupakan penghormatan tertinggi dalam Pasukan Pengakap Perempuan.
“Pelbagai bidang telah saya terokai sewaktu menyertai Pasukan Pengakap Perempuan seperti arkeologi dan fotografi, sekali gus meningkatkan keyakinan dalam diri saya. Malah lencana pasukan itu sendiri berjaya membantu saya dalam meraih pengiktirafan dalam bidang akademik,” jelas Boutros.
“Perkara yang paling menyeronokkan ketika menyertai Pasukan Pengakap Perempuan setentunya aktiviti perkhemahan. Anda boleh meninggalkan telefon pintar dan lebih selesa bergaul dengan rakan-rakan, memberi peluang untuk saling bertukar-tukar pendapat,” tambah Boutros.
Pengalaman yang berjaya diterokai oleh Boutros ini setentunya merupakan satu cerminan bagi menggalakkan penglibatan belia perempuan khususnya dalam bidang Sains, teknologi, kejuruteraan dan Matematik. – AP