BEIJING, 31 MEI – Sektor pengeluaran China yang dibelenggu penyusutan mencatat peningkatan pada Mei, menurut data yang keluar hari ini, ketika beberapa kilang beransur-ansur kembali beroperasi selepas pegawai kerajaan melonggarkan beberapa sekatan COVID.
Indeks Pengurus Pembelian (PMI) – pengukur utama aktiviti pengeluaran – meningkat kepada 49.6, daripada 47.4 pada April, yang merupakan bacaan paling teruk sejak awal 2020.
Bagaimanapun, bacaan masih kekal di bawah 50 mata yang memisahkan pertumbuhan daripada pengecutan.
“Situasi epidemik terbaharu dan perubahan dalam situasi antarabangsa menjejas aktiviti ekonomi,” kata ahli statistik Biro Statistik Nasional (NBS) Zhao Qinghe dalam satu kenyataan.
Namun pengeluaran produk gentian sintetik, getah dan plastik mencatat pemulihan pada Mei, begitu juga pengeluaran kereta, menurut kenyataan.
Zhao berkata indeks harga untuk bahan mentah adalah lebih rendah berbanding bulan sebelumnya.
Sementara pengeluaran dan permintaan kilang telah meningkat, momentum pemulihan masih perlu diperkukuh, tambah Zhao. – AFP
