Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Aktiviti penjualan minuman keras tumpas

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 NOV – Sebanyak 345 tin dan 71 botol minuman keras pelbagai jenis yang dipercayai untuk dijual berjaya dirampas oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dalam operasi sepadu yang dijalankan kira-kira jam 7 malam di sebuah kediaman di Kampung Bengkurong, baru-baru ini.

    Operasi berkenaan turut membawa kepada penahanan dua individu, seorang wanita warganegara Malaysia berumur 50 tahun yang dipercayai menjalankan aktiviti penjualan minuman keras, dan seorang lelaki warganegara tempatan kerana bersubahat dalam khidmat penghantaran minuman keras yang dibeli.

    Operasi diketuai oleh PPDB melalui pegawai dan anggota Daerah Polis Brunei dan Muara, dengan kerjasama Bahagian Penguat kuasa Undang-undang, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED).

    Hasil serbuan menemukan beberapa barang tegahan termasuk sejumlah wang tunai, beberapa jenis telefon bimbit, sebuah kenderaan dan kad bank yang dipercayai digunakan dalam kegiatan perniagaan haram tersebut. Semua barang rampasan telah dibawa oleh pihak JKED bagi siasatan dan tindakan lanjut.

    PPDB dalam kenyataannya menegaskan bahawa mana-mana individu yang didapati membeli, menjual, menghantar atau berurusan dengan barangan tegahan di negara ini boleh dikenakan hukuman di bawah undang-undang yang berkuat kuasa.

    Orang ramai turut diseru agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah ke mana-mana balai polis berdekatan atau melalui talian kecemasan 993.

    Minuman keras yang berjaya dirampas oleh pihak penguat kuasa semasa operasi sepadu yang dijalankan baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN PPDB
    Antara barang tegahan yang dirampas. – GAMBAR SERAHAN PPDB
    Sebanyak 71 botol minuman keras pelbagai jenis telah dirampas dari sebuah kediaman di Kampung Bengkurong. – GAMBAR SERAHAN PPDB

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda