Oleh Salawati Haji Yahya –
Dengan matlamat untuk membina kecekalan serta memupuk semangat kerjasama dan kepimpinan dalam jati diri pelajar, pelajar Tahun 4 Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SR YSHHB) telah mengambil peluang memanfaatkan cuti persekolahan mereka dengan menyertai aktiviti perkhemahan Program Kepimpinan Jati Diri di Daerah Temburong.
Objektif program berkenaan bukan sahaja bertumpu pada program kepimpinan, pelajar juga didedahkan dengan aktiviti kerohanian ke arah mencintai masjid atau surau dan seterusnya mengadakan aktiviti Kenali Negara Kitani (KNK ).
Semasa program berkenaan, pelajar berpeluang mengadakan lawatan ke Sekolah Rendah Sultan Hashim, Kampung Batu Apoi dan menyaksikan sendiri bagaimana pengajaran sekolah itu dikendalikan bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains, selain bersuai kenal dengan pelajar di sana. Mereka juga menyaksikan pameran-pameran trofi kejayaan sekolah tersebut di sebuah bilik galeri yang khusus disediakan.
Di samping itu, juga pelajar berpeluang melawat dan ikut serta aktiviti Amazing Race di sekitar Taman Peliunan, diselitkan dengan pertunjukan pembuatan bunga dari plastik di mana pelajar juga berpeluang membuatnya sendiri.
Pada hari kedua, pelajar juga terlibat dalam aktiviti Team Building yang diadakan di Batang Duri dan seterusnya mengadakan lawatan ke zoo di daerah itu.







SR YSHHB
Selain itu, aktiviti amal juga dianjurkan menerusi kempen kebersihan di Surau Kampung Piasau-Piasau, sekali gus menyerahkan wakaf berbentuk sebuah pencetak dan mesin laminate bagi kegunaan surau berkenaan. Mereka juga mengambil kesempatan untuk menunaikan solat asar berjemaah di surau berkenaan.
Sementara itu, temu bual dengan beberapa pelajar yang rata-rata menjelaskan ia merupakan penyertaan pertama mereka dalam program ini dan berasa teruja dengan aktiviti yang disertai mereka.
Menurut Dayang Siti Alya Maherah binti Haji Yusra, program itu telah memberi satu pengalaman baharu untuk dirinya di mana ia mengajar sikap bersabar dan kerja berpasukan.
“Walaupun ianya pengalaman pertama menyertai dalam program seumpama ini, ia sangat menyeronokkan kerana saya dapat melakukan aktiviti bersama rakan-rakan yang lain,” jelasnya.
Manakala Awang Muhammad Nawfal Raees bin Dr Haji Norzaidi pula mengongsikan, melalui program perkhemahan ini, beliau belajar untuk berdikari, bertanggungjawab dan berdisiplin.
“Oleh kerana kami tidur bersama, makan bersama, solat bersama dan melakukan semua aktiviti bersama, ia mengajar saya teamwork, menghormati guru-guru dan kawan-kawan, dan tolong-menolong antara satu sama lain.”
Beliau melihat perkhemahan ini bukan hanya setakat menerapkan sikap kepimpinan tetapi lebih kepada sebuah ikatan persahabatan, belajar berdikari dan berdisiplin.
Manakala Dayang Aliya Zahraa binti Haji Zulhasma pula menjelaskan beliau berasa sangat gembira dapat menyertai program ini kerana berpeluang melakukan aktiviti dan dapat merakamkan kenangan bermalam bersama rakan-rakan yang lain.
Beliau turut menyatakan melalui program yang disertai ini, ianya telah mengajar untuk hidup berdikari, bekerjasama dalam pasukan, meningkatkan keyakinan diri dan berkenalan dengan kawan baharu.
Dayang Aliya Zahraa berharap dapat menyertai program seumpama ini pada masa akan datang untuk menimba ilmu, pengalaman serta kenangan yang indah.
Dengan aktiviti yang dianjurkan, para pelajar diharap dapat menambah ilmu pengetahuan mengenai tempat-tempat menarik yang terdapat di negara ini sambil menerapkan sikap pemedulian dan lebih bertanggungjawab ke atas diri sendiri dan juga orang di sekeliling mereka.

