Oleh Ak Zaki Kasharan –
TUTONG, 23 OGOS – Seramai 35 orang belia dari seluruh negara telah menyertai Mini Inovasi Perkhemahan Belia yang berlangsung selama tiga hari dan menerima sijil masing-masing pada majlis penutup yang berlangsung di Pusat Belia Daerah Tutong, hari ini.
Hadir bagi menyampaikan sijil kepada para peserta ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Mohammad Sofian bin Haji Basri.
Program perkhemahan anjuran bersama Jabatan Belia dan Sukan Cawangan Daerah Tutong dan Persatuan Pengakap Daerah Tutong itu diadakan di kawasan lapang Pusat Belia Daerah Tutong.
Ia bertujuan untuk memberi pendedahan kepimpinan yang merangkumi aktiviti-aktiviti fizikal dan mental di samping untuk mendedahkan para belia akan aktiviti agresif dan mencabar yang memerlukan keberanian serta menguji tahap ketahanan serta kecerdasan minda dan kekuatan fizikal.



