BEIJING, 31 JAN – Kegiatan perkilangan di China sedikit perlahan pada bulan Januari, data rasmi menunjukkan hari ini, ketika negara itu bergelut untuk mengekang penularan gelombang koronavirus baru-baru ini di utara China.
Indeks pengurus pembelian (PMI), ukuran utama aktiviti pembuatan, berada pada tahap 51.3 bulan ini, ketika ekonomi kedua terbesar di dunia itu memperketatkan langkah berjaga-jaga mengekang koronavirus menjelang Tahun Baharu China.
Angka itu sedikit di bawah bacaan Disember 51.9, walaupun masih di atas tanda 50 mata yang memisahkan pertumbuhan dari penguncupan.
“Baru-baru ini, kluster COVID-19 tempatan muncul di kebanyakan tempat di seluruh negara, dan pengeluaran dan operasi beberapa perusahaan terjejas buat sementara waktu,” kata ahli statistik Biro Statistik Kebangsaan (NBS) Zhao Qinghe.
Zhao menambah bahawa tempoh menjelang Tahun Baharu China secara kebiasaannya adalah ‘musim puncak’ bagi industri pembuatan.

Data terbaharu menunjukkan bahawa iklim perniagaan masih lemah bagi perusahaan kecil, walaupun penggunaan domestik meningkat menjelang musim perayaan.
Permintaan eksport menjadi perlahan selepas Krismas ketika wabak itu terus merebak ke seluruh dunia, kata NBS.
PMI bukan pembuatan China menyaksikan penurunan yang lebih besar kepada 52.4, daripada 55.7 bulan lalu, berikutan dengan kesan COVID-19 yang lebih besar ketika penularan semula virus dalam kalangan tempatan.
Industri termasuk tempat tinggal dan katering menyaksikan penurunan aktiviti yang lebih ketara.
“Sektor perkhidmatan mungkin mengalami kesukaran berikutan dengan gelombang baharu COVID-19, peraturan penjarakan sosial yang diperketatkan dan pengembalian semula langkah-langkah perintah berkurung serta larangan perjalanan di beberapa wilayah di China,” kata laporan penyelidikan Nomura baru-baru ini.– AFP