Oleh Syahmi Hassan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JUN – Sub-indeks Keadaan Perniagaan iaitu indeks utama kepada Indeks Sentimen Perniagaan (BSI), adalah 50 bagi Mei 2023, berbanding 49.8 pada April 2023.
Meskipun sektor-sektor perniagaan mempunyai pendapat yang berlainan terhadap prestasi perniagaan pada bulan Mei, sentimen secara keseluruhannya adalah tidak berbeza dengan bulan sebelumnya.
Kebanyakan perniagaan menjangka aktiviti perniagaan akan meningkat dengan pengembalian semula waktu bekerja seperti biasa pada bulan Mei 2023.
Dapatan itu adalah daripada Laporan BSI bagi Negara Brunei Darussalam bagi Mei 2023 yang diterbitkan oleh Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), hari ini. Indeks tersebut berdasarkan kaji selidik terhadap hampir 500 perniagaan daripada 11 sektor ekonomi.
Sentimen optimistik juga disokong oleh pelbagai projek yang masih berjalan dan kenaikan tahap permintaan bagi pelbagai produk dan perkhidmatan, terutamanya dalam sektor hotel dan restoran.
Walau bagaimanapun, beberapa perniagaan menjangka keadaan yang lebih perlahan yang lazimnya berlaku selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Memandang ke hadapan, sentimen bagi Jun 2023 adalah 49.8, menunjukkan bahawa perniagaan secara amnya menjangka keadaan yang kurang optimistik pada Jun 2023 berbanding Mei 2023. Ini didorong oleh jangkaan aktiviti perniagaan dan permintaan yang secara bermusim akan menurun setelah sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Sub-indeks Pelaburan adalah 50.1 bagi Mei 2023, 49.9 untuk satu bulan ke hadapan, dan 50 bagi tiga bulan ke hadapan.
Sub-indeks Pengambilan Pekerja adalah 50.2 bagi Mei 2023, dan 50.3 bagi satu bulan ke hadapan.
Manakala itu, Sub-indeks Kos Perniagaan adalah 50.2 bagi April 2023, dan 50.4 bagi satu bulan ke hadapan.
Dari segi sektor ekonomi, empat daripada 11 sektor mencatatkan sentimen optimistik bagi Mei 2023 iaitu sektor hotel dan restoran, sektor kesihatan dan pendidikan, sektor pengangkutan dan komunikasi; dan sektor perkhidmatan lain.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/07/P6-WEB-Freepik-Aktiviti_01072023.jpg)