Thursday, January 9, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Aktiviti perniagaan tidak berubah bagi Nov 2024

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JAN – Indeks utama BSI, iaitu Sub-indeks Keadaan Perniagaan adalah 50 bagi November 2024 yang menunjukkan secara am perniagaan menjangkakan keadaan perniagaan yang serupa dengan Oktober 2024.

    Walaupun terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan sektor-sektor, para peniaga secara amnya menjangkakan tiada perubahan dalam aktiviti perniagaan pada November 2024.

    Beberapa perniagaan menunjukkan sentimen lebih baik dengan peningkatan dalam penjualan dan pembuatan mengambil kira penyertaan dalam ekspo besar dan acara-acara.

    Sementara itu, sesetengah perniagaan mengongsikan kelembapan dalam aktiviti perniagaan dengan kekurangan permintaan dan projek memandangkan keadaan perniagaan yang agak perlahan, serta keadaan cuaca yang kurang baik, selain kecenderungan orang ramai untuk melancong ke luar negara bermula November 2024.

    Indeks keadaan perniagaan bagi satu bulan ke hadapan juga di tahap 50 yang menunjukkan jangkaan yang lebih kurang sama bagi Disember 2024.

    Rajah menunjukkan sub-indeks keadaan perniagaan bagi November 2024. – GAMBAR SERAHAN BDCB

    Hasil dapatan itu diperoleh daripada Indeks Sentimen Perniagaan (BSI) Negara Brunei Darussalam bagi November 2024 yang diterbitkan oleh Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), baru-baru ini.

    Indeks ini adalah berdasarkan kaji selidik ke atas hampir 500 buah perniagaan bersaiz mikro, kecil, sederhana dan besar daripada 11 sektor ekonomi di kesemua daerah di Negara Brunei Darussalam.

    Sub-indeks Pelaburan adalah 50 bagi November 2024, 50 untuk satu bulan ke hadapan, dan 50.5 bagi tiga bulan ke hadapan, yang menunjukkan bahawa para peniaga menjangka akan mengekalkan tahap pada November dan Disember 2024.

    Walau bagaimanapun, perniagaan lebih optimistik dengan prospek pelaburan dalam tempoh tiga bulan akan datang.

    Tahap perbelanjaan modal untuk sesetengah perniagaan dijangka akan meningkat pada Februari 2025, untuk memanfaatkan belanjawan sebelum penutup tahun kewangan.

    Ini termasuk mengubahsuai dan membesarkan premis, pembelian mesin dan peralatan baharu untuk memenuhi keperluan projek dan pelanggan baharu, serta penambahan semula stok inventori atas jangkaan permintaan tinggi di musim perayaan akan datang.

    Sementara itu, sub-indeks Kos Perniagaan adalah 50.2 bagi November 2024 dan 49.9 bagi satu bulan ke hadapan.

    Secara amnya, perniagaan menjangka kos operasi yang lebih tinggi pada November berbanding Oktober 2024.

    Ini disebabkan perbelanjaan sampingan yang berkaitan dengan pengubahsuaian dan pembesaran premis, penyertaan dalam pelbagai acara, kesan limpahan daripada kenaikan harga minyak global, kenaikan kos pembayaran gaji, pembelian bahan mentah, serta aktiviti-aktiviti penyelenggaraan dan pembaikan.

    Namun, para peniaga secara amnya menjangka kos operasi yang lebih rendah pada Disember 2024, didorong oleh jangkaan harga bahan mentah yang lebih rendah disebabkan kemungkinan penurunan harga komoditi global, kekurangan jumlah pelanggan semasa musim percutian dan pelancongan, perbelanjaan berkaitan dengan pekerja, penamatan projek, dan pengurangan aktiviti disebabkan oleh keadaan cuaca buruk.

    Dari segi sektor ekonomi, hanya dua daripada 11 sektor menjangka keadaan perniagaan yang optimistik pada November 2024 di mana sektor hotel dan restoran paling optimistik dengan indeks 50.3, mengambil kira jangkaan tempahan bilik yang lebih banyak dan promosi yang berterusan pada musim percutian dan pelancongan.

    Selain itu, sektor kewangan dan insurans juga optimistik dengan indeks 50.1 berikutan jangkaan permintaan yang lebih tinggi untuk insurans perjalanan menjelang musim percutian, serta peningkatan dalam sumbangan takaful keluarga dan am.

    Sebaliknya, lima sektor melaporkan sentimen yang pesimistik, khususnya sektor pembinaan pada tahap 49.7.

    Sektor lain yang pesimistik termasuk sektor kesihatan dan pendidikan, pembuatan, perkhidmatan swasta lain, dengan kebimbangan yang lebih kurang sama, termasuk musim perniagaan yang lembap akibat musim percutian dan keadaan cuaca.

    Manakala sektor-sektor pengangkutan dan komunikasi, minyak dan gas dan yang berkaitan, pertanian, perhutanan, perikanan dan ternakan, serta perdagangan borong dan runcit menjangkakan keadaan perniagaan yang lebih kurang sama dengan Oktober 2024.

    Dari segi indeks mengikut saiz perniagaan, hanya perniagaan bersaiz mikro berpandangan optimistik bagi November 2024 dengan jangkaan sedikit penambahbaikan dalam keadaan perniagaan secara keseluruhan mengambil kira permintaan yang lebih tinggi untuk barangan dan perkhidmatan mereka.

    Perniagaan saiz kecil pula mengongsikan jangkaan yang lebih pesimistik dengan penurunan dalam permintaan dan aktiviti perniagaan.

    Sementara itu, terdapat pandangan yang berbeza dalam kalangan perniagaan bersaiz sederhana dan besar. Walau bagaimanapun, sentimen secara keseluruhan lebih kurang sama bagi November 2024 berbanding n bulan sebelumnya.

    BSI antara lain bertujuan untuk mengukur tahap sentimen atau keyakinan perniagaan di Negara Brunei Darussalam dalam pelbagai aspek termasuk keadaan semasa dan jangkaan bagi iklim perniagaan, pelaburan, pengambilan pekerja dan kos menjalankan perniagaan.

    Nilai BSI bagi atas 50 ialah keadaan yang lebih baik atau sentimen lebih optimistik berbanding bulan sebelumnya, manakala nilai BSI bagi 50 pula ialah keadaan lebih kurang sama berbanding bulan sebelumnya, dan nilai BSI bawah 50 pula, adalah keadaan yang merosot atau sentimen lebih pesimistik berbanding dengan bulan sebelumnya.

    Untuk mendapatkan maklumat lebih terperinci mengenai BSI, orang ramai boleh merujuk kepada nota teknikal mengenai metodologi dan statistik di laman web BDCB di www.bdcb.gov.bn.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda