Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 SEPT – Seramai 37 orang anak yatim berumur 12 hingga 18 tahun telah menyertai aktiviti riadah yang diadakan di Bukit Riadah Kampung Panchor, Mengkubau hari ini, untuk memberi keceriaan seterusnya mendedahkan mereka mengenai flora dan fauna.
Aktiviti riadah berkenaan merupakan kali kedua dianjurkan oleh Kumpulan Ikhwanul Mahabbah dan pada tahun ini, ia dilaksanakan secara kolaborasi sukarelawan kampung berkenaan yang menyasarkan kepada anak-anak yatim yang menetap di Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Panchor, Mengkubau.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Penghulu Mukim Mentiri yang juga Ketua Kampung Sungai Buloh, Pengiran Haji Ismail bin Pengiran Haji Ibrahim.
Turut hadir ialah Pemangku Ketua Kampung RPN Panchor, Mengkubau, Awang Mohammad Hilmy bin Haji Ahmad dan penduduk kampung berkenaan.
Ketua Kumpulan Ikhwanul Mahabbah, Pengiran Hazlyn bin Pengiran Hashim menjelaskan, di samping riadah bersama anak-anak yatim, sumbangan dalam bentuk makanan dan minuman turut disampaikan hasil kutipan daripada penduduk kampung dan orang ramai serta syarikat-syarikat.
Peserta bukan saja berpeluang mengadakan kegiatan luar bagi menjaga kesihatan dan meningkatkan stamina diri, malah ia secara tidak langsung dapat menambah pengetahuan anak-anak yatim mengenai keindahan flora dan fauna yang terdapat di kawasan bukit berkenaan di samping dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk kampung.
Aktiviti dimulakan dengan sesi senamrobik dan bacaan Doa Selamat dipimpin oleh Awang Mohammad Hilmy.
Acara berkenaan diadakan dengan mengambil kira dan mengikut garis pandu semasa daripada Kementerian Kesihatan.
