Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JAN -Progresif Sdn Bhd hari ini memaklumkan mengenai peningkatan kes aktiviti penipuan baru-baru ini yang menyasarkan kepada pelanggan-pelanggannya.
Dalam kenyataannya, Progresif Sdn Bhd telah mendapati peningkatan dalam penipuan kejuruteraan sosial, terutamanya melalui percubaan pancingan data yang mana penipu menyamar sebagai ejen Progresif, bertujuan bagi mendapatkan akses tanpa kebenaran kepada akaun Progresif CARE+ pelanggan.
Dalam beberapa kejadian, penipu telah menghubungi pelanggan melalui panggilan dan WhatsApp untuk meminta maklumat sensitif seperti butiran log masuk atau kata laluan OTP.
Selepas itu, transaksi tanpa kebenaran telah dicuba pada akaun pelanggan oleh si penipu.
Maka dengan ini, Progresif menggesa para pelanggan untuk terus berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga yang perlu terhadap penipuan tersebut.
Progresif memberikan jaminan kepada pelanggan bahawa ia tidak akan meminta butiran log masuk atau OTP melalui telefon atau mana-mana saluran komunikasi lain.
Pelanggan juga dinasihatkan untuk tidak mendedahkan kata laluan, OTP atau butiran peribadi kepada sesiapa sahaja dan digalakkan bagi menghubungi perkhidmatan pelanggan rasmi Progresif jika mereka mempunyai sebarang kebimbangan atau syak wasangka mengenai kesahihan panggilan.
Progresif juga menggesa pelanggannya memainkan peranan aktif dalam mengekalkan keselamatan persekitaran telekomunikasi.
Kewaspadaan pelanggan adalah penting dalam membantu Progresif bagi menyediakan pelanggan dengan perkhidmatan yang lebih baik.
Mana-mana pelanggan yang percaya mereka telah menjadi mangsa penipuan atau mengetahui mana-mana aktiviti penipuan berkenaan bolehlah menghubungi khidmat sokongan pengguna Progresif dengan segera atau boleh menghubungi pusat pe-ngalaman pelanggan Progresif di talian 177, melalui WhatsApp di talian 8220177 atau e-mel kepada contact@progresif.com.


