Oleh Ak Zaki Kasharan –
TUTONG, 28 OGOS – Seramai 42 belia yang berumur 15 hingga 35 tahun telah menyertai aktiviti bermanfaat yang direka bagi menyuntik pemikiran positif para peserta dan meningkatkan kesedaran mengenai buli.
Aktiviti tersebut dianjurkan oleh Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Cawangan Tutong bersempena musim cuti persekolahan bertempat di Kompleks Sukan Tutong, hari ini.
Hadir semasa acara ter-sebut dan seterusnya menyempurnakan majlis penyampaian sijil ialah Ketua JBS Cawangan Tutong, Dayang Amrah Farahiyah binti Haji Mohd Hamdillah.
Penerapan melalui aktiviti seperti ini sedikit sebanyak memotivasikan pemikiran para peserta dan mengubah jiwa mereka daripada seorang yang bersikap negatif kepada positif.
Aktiviti tersebut diharap sedikit sebanyak membantu dalam menyumbang secara langsung ke arah pembentukan generasi belia yang mempunyai kesediaan untuk terus berubah ke arah kebaikan dan tidak mudah berputus asa dalam merancang kehidupan.
Selain itu, antara lain tujuan diadakan acara tersebut ialah untuk memberikan pendedahan kepada belia supaya sentiasa aktif dalam kegiatan belia dan sukan serta memupuk belia agar tampil lebih berkeyakinan ketika bergaul antara satu sama lain, serta menyemai semangat setia kawan dan bersatu padu.



