Saturday, April 19, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Aku bukan superhero

    Salam sejahtera, aku hendak bercerita tentang pengalaman aku sebagai seorang ayah dalam membesarkan anak-anakku.

    Aku bukanlah seorang ayah yang sempurna. Aku tidak punya banyak harta, tidak pandai tunjuk sayang dengan kata-kata.

    Tapi aku cuba. Setiap hari, aku keluar pagi-pagi, pulang lewat malam. Semata-mata nak pastikan ada makanan atas meja, nak pastikan anak-anak tidak rasa susah.

    Bila mereka kecil, aku dukung mereka ke klinik waktu demam.

    Aku jalan kaki dua kilometer sebab masa itu kebetulan kereta rosak. Tapi aku tak pernah merungut. Aku cuma nak mereka sihat.

    Gambar Freepik

    Sekarang mereka dah besar. Dah ada kehidupan sendiri. Tapi inda ramai yang ingat aku.

    Hari jadi aku sunyi. Hari raya aku tunggu di depan pintu, tapi kereta yang aku harap tak pernah sampai. Bila aku telefon, mereka kata sibuk. Bila aku mesej, dibalas sepatah dua.

    Aku tak minta banyak. Bukan wang ringgit. Cuma sedikit masa. Sedikit perhatian. Sekeping hati aku pun mahu dibelai, walau sekejap.

    Kadang aku tengok cermin, rambut aku dah putih. Tangan aku kasar. Badan aku dah tak kuat macam dulu. Tapi rindu aku pada anak-anak, tetap segar.

    Aku tahu, mungkin aku bukan ayah terbaik. Tapi segala apa yang aku buat, semuanya untuk mereka.

    Dan aku harap, satu hari nanti mereka akan ingat. Bahawa ada seorang ayah, yang mungkin diam dan sederhana, tapi cintanya terhadap anak-anak tidak akan pernah kurang.

    Ayah Sepi

    NASIHAT DANG MP – 

    Salam penuh empati daripada Dang kepada Ayah Sepi.

    Terima kasih kerana berkongsi cerita yang begitu jujur dan menyentuh hati. Dang faham perasaan awda sebagai seorang ayah perasaan rindu, sunyi, dan harapan yang sederhana tetapi sangat dalam. Menjadi ayah bukan tentang sempurna, tetapi tentang mencuba sedaya upaya dengan kasih yang tak ternilai. Dan dari setiap bait kata awda, jelas kasih itu telah saudara curahkan dengan sepenuh jiwa.

    Tidak semua anak memahami erti pengorbanan sehingga mereka sendiri melaluinya.

    Kadang, masa dan jarak menjadikan hati mereka alpa. Tapi percayalah, benih kasih yang saudara semai tidak hilang. Ia mungkin tersembunyi di balik kesibukan mereka, namun tetap tumbuh dalam diam.

    Dang mohon saudara teruskan berdoa dan tetapkan kasih itu, kerana kasih ayah tak pernah sia-sia. Dan jika ruang itu ada, utarakan isi hati saudara dengan lembut kepada anak-anak. Bukan untuk menagih simpati, tapi sekadar untuk membuka kembali ruang ingatan.

    Ayah seperti awda bukan superhero yang bersayap, tetapi wira sebenar yang berdiri di belakang tabir, membina dunia anak-anak dengan tangan yang kasar tapi penuh cinta.

    Dang doakan hati awda terus kuat, dan kasih itu akan kembali dalam bentuk yang saudara nanti-nantikan.

    Dang juga harapkan sekiranya ada anak-anak lain yang masih mempunyai ibu bapa yang masih hidup, hayatilah curat Ayah Sepi dan segeralah berbakti kepada ibu bapa awda.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda