PELAKON yang kini bergelar ahli perniagaan, Datin Fouziah Gous mengatakan sesekali terbit rasa rindu untuk dia kembali berlakon.
Namun bukan mudah baginya untuk kembali beraksi kerana ada beberapa syarat yang perlu diikuti oleh penerbit atau pengarah.
Jelasnya, status sebagai isteri dan ibu kepada dua cahaya mata membuatkan pergerakan kini agak terbatas.
“Selepas melahirkan anak kedua, saya ada menerima banyak tawaran berlakon tetapi semuanya saya terpaksa tolak dengan cara baik kerana ingin memberi lebih perhatian kepada anak yang kedua-duanya jarak umur mereka sangat rapat.
“Jadi faham-faham sahajalahkan cabarannya membesarkan dua anak yang masih kecil. Saya tak mahu mereka terabai dek kesibukan saya sendiri,” jelas Fouziah.

Tambahnya, dalam masa yang sama juga perniagaan minuman sarang burung FGWalet ketika itu baharu nak berkembang. Maka tumpuan turut diberikan terhadap perniagaan.
“Semuanya datang serentak, oleh itu, saya takut tidak mampu untuk menguruskan jadual saya sekali gus.
“Maka untuk tidak mahu menyusahkan mana-mana pihak, saya ambil keputusan untuk tidak menerima apa-apa tawaran berlakon buat seketika,” katanya.
Justeru, kini apabila anaknya semakin membesar dan perniagaan FGWalet juga semakin stabil, Fouziah terdetik untuk kembali berlakon dengan beberapa syarat yang perlu dipenuhi.
“Antaranya saya tidak boleh terlalu lama berjauhan dengan keluarga dan ada perniagaan yang masih perlu diutamakan. Jadi, saya berharap ada tolak ansur berkenaan dengan jadual penggambaran dengan jadual peribadi saya. Jika itu boleh dipatuhi saya bersedia untuk berlakon.
“Selain itu, saya juga kini sudah berhijab sepenuhnya. Watak-watak perlulah bersesuaian dengan imej baru saya ini. Ada batas-batas yang perlu saya ikuti,” katanya lagi jujur. – Agensi