‘Akulah Juara’ cari bakat baharu

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Sept – Radio Televisyen Brunei (RTB) akan mengadakan rancangan realiti nyanyian ‘Akulah Juara’ untuk mencari bakat-bakat baharu yang berumur di antara 17 hingga 35 tahun.

Sehubungan dengan itu, dalam usaha untuk memperkenalkan rancangan berkenaan, jerayawara ‘Akulah Juara’ akan diadakan di Mini Amphitheatre Jerudong Park pada 22 September nanti bermula pukul 8 malam.

Semasa jerayawara itu nanti, orang ramai akan dapat mengenali sebahagian daripada peserta yang akan menyertai rancangan realiti ‘Akulah Juara’.

Terdahulu, sesi uji bakat bagi 30 orang yang terpilih untuk bersaing pada peringkat suku akhir telah diadakan dari 6 hingga 8 Julai lalu.

Daripada jumlah itu, 20 orang peserta yang layak telah dipilih untuk melangkah ke peringkat separuh akhir dan lapan orang peserta seterusnya telah berjaya mara ke peringkat akhir.

Orang ramai boleh menyaksikan peringkat akhir ‘Akulah Juara’ di Mini Amphitheatre Jerudong Park pada 29 September nanti pada pukul 8 malam dan siaran langsungnya pula dapat disaksikan melalui saluran televisyen RTB Aneka.