Tuesday, September 17, 2024
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Akupuntur akar ubah pelanggan macam landak

    TOKYO, 11 SEPT – Sebuah klinik akupuntur Jepun telah menjadi viral kerana banyaknya jarum yang dicucuk pada pesakit untuk membantu menyembuhkan mereka daripada penyakit fizikal dan rohani.

    Akupuntur sememangnya telah wujud sejak beribu-ribu tahun dahulu, tetapi pengamal sering membangunkan teknik mereka sendiri untuk menjadi lebih menonjol daripada pesaing- pesaingnya.

    Menurut laporan Oddity Central, salah satu contoh pengamal dengan teknik tersendiri ialah sebuah klinik akupuntur Shirakawa di Tokyo, Jepun.

    Teknik akupuntur Shirakawa menggunakan sejumlah jarum yang banyak untuk dicucukkan ke dalam pelbagai bahagian badan termasuk muka untuk melegakan pesakit daripada pelbagai jenis penyakit termasuk daripada kekejangan otot kepada menghindari nasib malang dan juga kerasukan oleh roh jahat.

    Klinik itu juga dilaporkan mengenakan bayaran sehingga 200,000 yen (AS$1,400) setiap sesi dan sangat popular di kalangan selebriti dan atlet Jepun.

    Bulan lalu, seorang pelakon bernama Masataka Kubota berkongsi foto dirinya menjalani akupuntur di klinik tersebut, dengan jarum menutupi sebahagian besar muka dan dadanya.

    Foto-foto tersebut telah ditandakan oleh Instagram sebagai kandungan sensitif, tetapi pelakon itu memuji perkhidmatan itu dan mengatakan pengalamannya sebagai ‘menggembirakan’ sambil menambah bahawa ia juga benar-benar telah menguji dirinya.

    Catatan Kubota menjadi tular, tetapi dia bukanlah selebriti pertama yang menyiarkan tentang teknik akupuntur Shirakawa, yang juga dikenali sebagai akupuntur akar. Sebulan sebelum itu, pemain pingpong Jepun, Ai Fukuhara juga telah berkongsi pengalamannya tetapi dia tidak mahu menyiarkan foto wajahnya atas alasan tidak mahu menakutkan sesiapa.

    Beberapa pelanggan terkenal Shirakawa yang lain termasuk pelakon Mami Kumagai, penyanyi Hiromi Go dan ahli gimnastik Ryusei Nishioka.

    “Kebanyakan orang yang menerima rawatan saya tidak mampu menahan dan akhirnya menangis. Ini adalah suatu manifestasi penyucian jiwa. Ini juga adalah tangisan daripada air mata yang menyahtoksik,” kata Yusaku Shirakawa, pengasas klinik itu.

    Akhbar SCMP melaporkan bahawa teknik akupuntur Shirakawa dikatakan membantu bukan hanya melegakan penyakit fizikal seperti sakit kronik dan kekejangan otot, tetapi juga menangani isu rohani pesakit seperti membantu pesakit membuat keputusan yang lebih baik, memperbaiki nasib dan menyucikan jiwa mereka.

    Jika awda tertanya-tanya adakah teknik akupuntur Shirakawa seperti itu menyakitkan? Itu sukar untuk dijawab. Walau bagaimanapun, laman web rasmi klinik itu menyatakan bahawa prosedur yang melibatkan sejumlah jarum logam yang tajam, jadi ‘sedikit kesakitan pasti akan berlaku’.

    Walaupun Shirakawa kini merupakan pengamal paling terkenal dalam teknik akupuntur akar, namun beliau bukanlah satu-satunya pengamal yang ada.

    Satu carian mudah di Google mendedahkan bahawa terdapat kira-kira 500 pengamal akupuntur akar di Jepun. Walaupun jumlah itu kedengarannya seperti banyak, tetapi jika dibandingkan dengan lebih 120,000 ahli akupuntur biasa di Jepun, perkhidmatan mereka sebenarnya agak jarang ditemui. – Agensi

      Antara pelanggan yang sedang dirawat menggunakan akupuntur akar. – Oddity Central

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda