Wednesday, September 25, 2024
25.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    AkzoNobel kurangkan 2,000 pekerja

    AMSTERDAM, 24 SEPT – AkzoNobel, syarikat pengeluar cat terkemuka dunia dan pengeluar cat Dulux, mengumumkan langkah pengurangan 2,000 pekerja di seluruh dunia, melebihi lima peratus daripada jumlah tenaga kerjanya, sebagai usaha untuk mengurangkan kos operasi.

    Ketua Pegawai Eksekutif AkzoNobel, Greg Poux-Guillaume, berkata pemotongan pekerjaan itu akan membolehkan syarikat dari Belanda tersebut menjadi lebih cekap dalam menghadapi pasaran yang tidak menentu dan menangani cabaran seperti peningkatan kos buruh.

    Walaupun AkzoNobel telah mencatatkan pertumbuhan selama tiga suku berturut-turut, industri tersebut terkesan akibat kenaikan kos bahan mentah serta ekonomi global yang semakin perlahan.

    Menurut laporan tahunan terkini syarikat itu, AkzoNobel mempunyai 35,200 pekerja di lebih 150 negara pada akhir tahun lalu.

    Pelan pengurangan pekerja itu bertujuan untuk mengurangkan kos dan meningkatkan kecekapan, kata Poux-Guillaume, sambil menambah ia akan mempercepatkan proses membuat keputusan dan menyelaraskan struktur pengurusan.

    Langkah-langkah pengurangan kos itu dijangka dimuktamadkan menjelang akhir tahun depan, kata firma yang berpusat di Amsterdam itu. – AFP

    Seorang pekerja AkzoNobel hadir pada permulaan mesyuarat agung tahunan pemegang saham di Amsterdam. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda