JEDDAH, 4 MEI – Al Ahli dinobatkan sebagai juara Asia buat kali pertama pada percubaan ketiga selepas pasukan dari Arab Saudi itu menundukkan Kawasaki Frontale dari Jepun dengan keputusan 2-0 di Jeddah, kelmarin.
Kelab dari Jeddah itu, yang pernah muncul naib juara pada tahun 1986 dan 2012, meraih kemenangan di Stadium King Abdullah Sports City hasil dua jaringan dalam tempoh tujuh minit sebelum babak pertama tamat oleh pemain Brazil, Galeno dan kapten Ivory Coast, Franck Kessie.
Peringkat akhir Liga Juara-juara Asia semuanya berlangsung di Jeddah.
Dengan kemenangan itu, Roberto Firmino, Edouard Mendy dan Riyad Mahrez menjadi pemain pertama yang berjaya menjulang kedua-dua gelaran utama bola sepak kelab Asia dan Eropah. Ketiga-tiga mereka pernah menjuarai Liga Juara-juara (UCL) bersama Liverpool, Chelsea dan Manchester City.
“Kami sangat berbangga. Sebaik sahaja kami tahu bahawa lapan pasukan terakhir akan beraksi di Jeddah, matlamat kami adalah untuk muncul juara di hadapan penyokong sendiri.
“Sejak saya tiba di sini 18 bulan lalu, mereka memberikan sokongan yang amat besar kepada kami.
“Seperti yang saya katakan ketika saya menandatangani kontrak di sini, saya datang untuk mencipta sejarah, untuk terus merangkul kejuaraan dan menjadikan kelab ini sehebat dulu,” kata penjaga gol Al Ahli, Edouard Mendy. – AFP
