Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Sept – Kedai Tekstil, Al-Bukhari yang ditubuhkan sejak tahun 2006, telah membuka cawangannya yang keenam di Pusat Membeli-belah Aman Hills.
Lebih 200 orang jemputan hadir ke majlis perasmian pembukaannya pada hari ini dan hadir selaku tetamu kehormat majlis tersebut ialah isteri Menteri Pertahanan II, Datin Hajah Kalsom binti Haji Suhaili.
Majlis telah dimulakan dengan bacaan Doa Selamat, diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Pengarah Urusan Al-Bukhari, Waheed Alam yang menjelaskan mengenai bagaimana Al-Bukhari telah dimulakan dengan jayanya.
Kemudian majlis diikuti dengan tetamu kehormat majlis dan Pengarah Urusan Al-Bukhari memotong reben sebagai tanda meraikan pembukaan rasmi Al-Bukhari.
Majlis juga diserikan dengan penyampaian cenderahati kepada tetamu kehormat dan juga sesi bergambar ramai diikuti dengan lawatan ke dalam kedai tekstil berkenaan.
Pada majlis tersebut, lima orang pemenang bertuah telah menerima hadiah utama cabutan bertuah berupa baucar hadiah bernilai $100 yang disampaikan oleh tetamu kehormat.
Al-Bukhari telah membuka cawangan pertamanya di Serusop pada 2006, diikuti dengan cawangan di Tanjung Bunut pada tahun 2009, kemudiannya berkembang ke Citis Square (2010), Tutong (2013), Kuala Belait (2013) dan pada hari ini berjaya membuka cawangan keenamnya di Daerah Brunei dan Muara.
Sempena pembukaan cawangan berkenaan, Al-Bukhari mengadakan promosi istimewa, diskaun 60 peratus bagi dua hari pertama pembukaan kedai tersebut.
