Oleh Nurdiyanah R. –
TUTONG, 23 JULAI – Enam kumpulan telah menyerlahkan acara nyanyian berbentuk kerohanian semasa berlangsungnya pertandingan Sinaran Lagu Dakwah anjuran Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) Daerah Tutong di kawasan lapang berhadapan Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, kelmarin.
Antara yang hadir pada acara yang juga sebagai salah satu acara pentas perayaan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-77 Tahun 2023 bagi Daerah Tutong itu ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Mohammad Sofian bin Haji Basri; dan ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan selaku Ketua Kampung Sengkarai Daerah Tutong.
Turut hadir mengalu-alukan para jemputan ialah Pengerusi PKWE Daerah Tutong, Haji Hamaffi bin Mohammad Yassin dan ahli-ahli pusat tersebut.
Menerusi pertandingan berkenaan, Kumpulan Al Hidayah merangkul johan setelah berentap bersama Kumpulan Al-Barakah, Kumpulan Rania, Kumpulan Aqlan, Kumpulan Nurul Iman, dan Kumpulan Pemuda Setia.
Dengan adanya acara sedemikian, ia diharap dapat mewujudkan keyakinan dalam diri setiap peserta terutama golongan warga emas untuk sama-sama menyerlahkan bakat dan kemahiran mereka dari semasa ke semasa. Di samping itu, perlaksanaan pertandingan berkenaan juga secara tidak langsung bagi memupuk dan menyemai rasa cinta kepada agama, bangsa, negara serta raja sesuai dengan matlamat PKWE Daerah Tutong sendiri iaitu menyatupadukan golongan warga emas di seluruh negara.
