Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Al Hilal tamat kempen Liga Juara-Juara Asia tanpa kalah

    RIYADH, 5 DIS – Juara empat kali, Al Hilal menamatkan kempen peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Asia tanpa kalah selepas mencatat kemenangan 2-1 di tempat sendiri menentang pasukan Iran, Nassaji Mazandaran, kelmarin.

    Pasukan Arab Saudi, yang muncul naib juara tahun lalu, sudah pun layak ke pusingan 16 terakhir sebagai pemenang Kumpulan D, membolehkan pengurus Jorge Jesus berpeluang untuk meletakkan penyerang Aleksandar Mitrovic dalam kesebelasan utama dan pemain tengah, Sergej Milinkovic-Savic di bangku simpanan.

    Ruben Neves, seorang lagi pemain musim panas, tidak berada dalam skuad itu, dengan bintang Brazil, Neymar diketepikan untuk sebahagian besar musim ini selepas mengalami kecederaan ligamen anterior cruciate (ACL) dan meniskus di lutut kirinya ketika tugasan untuk pasukan kebangsaan pada Oktober.

    Bagaimanapun, Al Hilal hanya memerlukan empat minit untuk mendahului menentang Nassaji Mazandaran di Stadium Putera Faisal bin Fahd, apabila pemain sayap Michael menyudahkan hantaran lintang rendah Mohammed Al Breik.

    Al Hilal, yang menggantikan penjaga gol Maghribi, Yassine Bounou pada separuh masa, menggandakan kelebihan mereka pada minit ke-54 hasil sepakan separuh voli yang bijak daripada pemain Terbaik Asia, Salem Al Dawsari.

    Mitrovic dan Milinkovic-Savic dimasukkan selepas sejam, walaupun ia tidak mencukupi untuk menghalang Nassaji Mazandaran daripada meledak gol menarik 13 minit sebelum tamat perlawanan.

    Mahmoud Ghaed Rahmati mengurangkan defisit dengan sepakan voli selepas melepasi pemain pertahanan Al Hilal, Kalidou Koulibaly.

    Dalam perlawanan lain kumpulan itu, Navbahor dari Uzbekistan menempah tempat ke peringkat 16 terakhir dengan kemenangan 2-1 menentang Mumbai City di Pune. – AFP

    Reaksi Salem al-Dawsari (kiri) selepas menjaringkan gol pada perlawanan Liga Juara-Juara Asia menentang pasukan Iran, Nassaji Mazandaran pada 4 Disember. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...