Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Februari – Pasukan Al Idrus FT menempah tempat ke perlawanan akhir Kejohanan Piala Presiden 1, Persatuan Boal Sepak Veteran Brunei Darussalam (VFA) apabila berjaya menumbangkan Pasukan RB Veteran dengan jaringan 2-0 di Padang Kelab Rekreasi Diraja Brunei (RBRC) Berakas.
Jaringan pertama Al-Idrus FT hanya hadir pada minit ke-33 melalui Azmanuddin Gillen, manakala jaringan kedua dan kemenangan pasukan itu dijaringkan pada minit ke-71 menerusi Haji Hassan Haji Damit.
Pasukan Al-Idrus FT kini menantikan lawan mereka di peringkat akhir nanti, sama ada Pasukan I-Team atau KB Warriors, bagi merebut Piala Presiden 1 2017/2018.
Sejurus selepas perlawanan, pengurus Pasukan Al-Idrus FT, Awangku Kanzul Shah Pengiran Haji Damit dalam temu bualnya menyatakan rasa syukur dan mengucapkan tahniah kepada semua pemain atas kejayaan mara ke perlawanan akhir.
Menurutnya antara kunci kejayaan Al-Idrus FT dalam separuh akhir itu adalah mereka bermain sabagai satu unit dan menunjukkan daya saing yang tinggi.
Para pemain juga melihatkan kawalan dan ketenangan dalam setiap strategi yang dirancang, menjadikan mereka mempunyai kelebihan untuk mencipta jaringan, sekali gus memenangi perlawanan.
Selaku pengurus Pasukan Al-Idrus FT, beliau akan berbincang dengan barisan kejurulatihan mengenai persiapan pasukan dan menasihatkan supaya semua pemain sentiasa bersedia menjelang perlawanan akhir itu nanti.