Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Jan – Pasukan Al-Idrus SC mara ke peringkat separuh akhir Piala Presiden 2 setelah berjaya mengalahkan Pasukan Cle’as FT melalui penentuan sepakan penalti dengan jaringan 4-3 di Kompleks Sukan Jabatan Kerja Raya di Berakas kelmarin.
Dalam perlawanan itu, Pengiran Haji Mohd Sarripudin bin Pengiran Damit berjaya membuka tirai jaringan bagi Pasukan Cle’as FT seawal minit ke-5 perlawanan. Ini memaksa Al-Idrus SC untuk membuat serangan bertubi-tubi kepada pasukan lawan dan berjaya menyamakan kedudukan melalui jaringan Awang Edi Ruslan bin Haji Abdul Samad pada minit ke-20.
Namun selang 8 minit kemudian, sekali lagi Pengiran Haji Mohd Sarripudin berjaya menjaringkan gol kedua bagi Pasukan Cle’as FT untuk menjadikan kedudukan 1-2 hingga tamat separuh masa pertama.
Manakala, seawal separuh masa kedua bermula, Pasukan Al-Idrus SC mula menukar rentak permainan dan membuat tekanan secara berterusan untuk mengejar kedudukan.
Akhirnya pada minit ke-50 perlawanan, Awang Mohd Rafie bin Haji Abdul Majid berjaya menjaringkan gol penyamaan bagi Al-Idrus SC dan menjadikan kedudukan seri 2-2 hingga tamat masa penuh 90 minit perlawanan, sekali gus memaksa perlawanan ditentukan melalui sepakan penalti yang dimenangi oleh Pasukan Al-Idrus SC dengan jaringan 4-3.


Sementara itu, Pengurus Pasukan Al-Idrus SC, Haji Mansur bin Haji Mohd Yassin ketika ditemui wartawan Media Permata menegaskan mereka akan membuat persiapan rapi dan berjuang dalam memastikan mereka akan mara ke perlawanan akhir.
“Saya mengharapkan komitmen setiap pemain untuk menggandakan stamina dan memperbaiki setiap kelemahan sebelum perlawanan di peringkat separuh akhir nanti,” katanya sambil menegaskan bahawa setiap pasukan yang telah mara ke suku akhir adalah pasukan-pasukan yang terbaik.
“Selain Al-Idrus SC, pasukan-pasukan lain seperti AH United, PSJD, Terraza, Teruja dan Jerudong juga bercita-cita untuk menjuarai Kejohanan Piala Presiden 2 ini. Jadi, setiap pasukan yang menyertai kejohanan ini telah mencuba sedaya upaya untuk melangkah hingga ke perlawanan akhir,” tambahnya.
Manakala, Pengurus Pasukan Al-Idrus FT, Awangku Kanzul Shah bin Pengiran Haji Damit ketika dihubungi mengucapkan syabas dan tahniah kepada pasukan seperjuangan mereka Al-Idrus SC atas kejayaan mereka yang mara ke peringkat separuh akhir kelmarin.
Dalam pada itu, apabila mengulas bagi kejayaan Pasukan Al-Idrus FT dalam kejohanan Piala Presiden 1, beliau menegaskan pasukan mereka terpaksa menempuh jalan yang sukar ketika berdepan dengan pasukan yang lebih baik dan mencabar.
“Justeru itu, kami membuat perancangan dengan mengatur perlawanan persahabatan sebagai sesi pemanasan dan menaikkan moral para pemain sebelum menempuh perlawanan separuh akhir Piala Presiden 1 tidak lama lagi.
“Saya berharap supaya para pemain akan sentiasa bersedia untuk menghadapi cabaran di peringkat separuh akhir Piala Presiden 1 yang pastinya akan lebih mencabar,” kata beliau lagi.