Saturday, July 26, 2025
26.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Al Kadayan FT menjuarai Futsal Belia B-19

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JULAI – Pasukan baharu, Al Kadayan FT, mencuri tumpuan apabila berjaya merangkul kejuaraan dalam Kejohanan Futsal Belia Bawah 19 Tahun (B-19) sempena Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-79.

    Kejohanan ini dianjurkan bersama oleh Pertubuhan Bolasepak Daerah Brunei dan Muara (PBDBM) dan Akademi Futsal Al-Mujaahidun.

    Lebih membanggakan, Al Kadayan FT – yang baharu ditubuhkan kurang dari setahun lalu – muncul juara tanpa menjalani sebarang latihan intensif sebelum kejohanan berlangsung.

    Menurut Pengurus Pasukan, Awang Al Muttaqiy Billah bin Zulfa Erison, penubuhan pasukan ini bermula pada awal tahun 2024 dengan para pemainnya saling mengenali sejak zaman persekolahan lagi.

    “Inisiatif awal datang daripada rakan kami, Awang Khairul Kasyfi bin Mohd Alini, yang mencadangkan penubuhan pasukan ini, menaja jersi dan mencetuskan nama Al Kadayan FT,” jelas beliau.

    Nama Al Kadayan FT dipilih berdasarkan identiti majoriti pemainnya yang terdiri daripada anak jati masyarakat Kedayan yang menetap di sekitar Sengkurong, Tanjung Bunut dan Mulaut.

    Dalam satu temu bual, Awang Khairul Kasyfi memaklumkan bahawa sebelum penyertaan rasmi ini, mereka hanya aktif dalam perlawanan persahabatan dan perlawanan kecil-kecilan sahaja. Menariknya, keputusan untuk menyertai kejohanan ini dibuat hanya tiga hari sebelum ia bermula.

    “Kami tidak menjalani latihan khas. Sebaliknya, kami bermain berasaskan keserasian dan semangat berpasukan yang sudah lama terjalin. Alhamdulillah, kami sendiri tidak menyangka akan muncul juara. Ini benar-benar satu rezeki,” ujar Awang Kasyfi.

    Dalam kejohanan tersebut, Al Kadayan FT mencatatkan kemenangan ke atas Silveredz B-19 dan Almerez Hitune B-19, serta seri menentang IBTE NRC, sekali gus memastikan kedudukan teratas dalam kejohanan.

    Almerez Hitune B-19 meraih tempat kedua, diikuti oleh Silveredz B-19 di tempat ketiga dan IBTE NRC di tempat keempat.

    Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam (FABD), Pengiran Haji Kamarunsalehin bin Pengiran Haji Kamis selaku tetamu kehormat acara.

    Hadiah-hadiah kejohanan ditaja oleh Syarikat Amarissa.

    Turut hadir ialah Yang Di-Pertua PBDBM, Haji Abdul Razak bin Haji Ibrahim; wakil penaja, Awang Muhammad Amirul Izzuddin bin Samhiri; serta ahli-ahli PBDBM dan Akademi Futsal Al-Mujaahidun selaku jawatankuasa kerja kejohanan.

    Pengiran Haji Kamarunsalehin (tiga dari kanan) meraikan pemenang Al Kadayan FT setelah menyampaikan piala pusingan kepada pasukan tersebut. – GAMBAR SERAHAN PBDBM
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda