Oleh Siti Nur Wasimah S.
THAILAND sememangnya sudah terkenal dengan keindahannya yang menggamit ramai pelancong walaupun ia merupakan sebuah negara yang penganutnya dominan Buddha, namun pelancongan Islamik semakin meningkat dari tahun ke tahun apabila lebih banyak hotel menyediakan perkhidmatan dan makanan yang mematuhi syarak.
Salah sebuah hotel yang menawarkan keistimewaan ini di negara ‘Gajah Putih’ itu ialah Hotel Al-Meroz, Bangkok yang baru sahaja dibuka pada November tahun lalu sebagai hotel halal pertama secara sepenuhnya yang mematuhi syariah dan bebas alkohol.
Penulis bersama rombongan media tempatan dan ejen-ejen pelancongan serta wakil Kedutaan Thailand di Negara Brunei Darussalam berpeluang menetap dan meneroka sendiri keistimewaan hotel yang terletak di pinggir bandar Ramkhamhaeng, Bangkok ini.
Melangkah sahaja ke dalam hotel itu, penulis merasa terpegun dengan gabungan reka bentuk dan seni bina berkonsepkan Arab dan Thai, malah makin terasa teruja apabila menerima layanan mesra penyambut tetamunya.
Menurut Pengarah Urusan dan Pengurus Besar Al-Meroz Hotel di Bangkok, Sanya Saengboon, inspirasi di sebalik reka bentuk hotel tersebut diharap agar dapat memberikan keselesaan kepada tetamu beragama Islam dan pada masa yang sama menunjukkan keramahan dan budaya Thailand.


Ia direka untuk memenuhi keperluan tetamu beragama Islam, namun bagi yang bukan Islam tetap dialu-alukan untuk menetap di sana. Apa yang lebih menarik lagi, ia menyediakan perkhidmatan sama seperti mana-mana hotel yang lain, tetapi bagi perkhidmatan kolam renang dan gimnasiumnya mempunyai waktu-waktu yang tertentu bagi penggunaan lelaki dan juga perempuan.
Sepanjang berada di sana, penulis dan pengamal media lain diberikan lawatan khas menerokai keistimewaan hotel itu yang mempunyai kapasiti lebih 230 bilik berbeza, dilengkapi dengan sejadah, Al-Quran dan arah kiblat, di samping menyediakan surau bagi lelaki dan perempuan serta dua buah restoran halal iaitu Restoran Barakat Mediterranean Cuisine dan juga Restoran Diwan.
Hotel bertaraf lima bintang ini juga menyediakan pelbagai jenis dewan seperti Dewan Bustan yang terletak di aras atas bagi acara-acara seperti perkahwinan, persidangan dan banyak lagi yang mana hotel ini mendapat pensijilan daripada pihak berkuasa dari Timur Tengah dan Thailand.
Hotel ini juga menerima banyak pelanggan dari Malaysia, Indonesia, Brunei, China serta negara-negara di Timur Tengah, Eropah dan Amerika.
Bagi orang ramai yang berkunjung, lebih-lebih lagi bagi yang beragama Islam tidak akan merasa bimbang dan ragu-ragu kerana tidak ada penjualan minuman beralkohol dibenarkan di dalam hotel tersebut dan kedua-dua restoran yang dibuka juga mempunyai sijil halal yang tertera di restoran itu.
Pendek kata, bagi penganut Islam, mereka tidak perlu bimbang kerana ia mempraktikkan peraturan ketat amalan agama Islam bermula daripada kebersihan dalam bilik penginapan, sehinggalah makanan halal, layanan mesra dan reka bentuk Islamiknya yang memukau, pastinya membuatkan percutian mereka bertambah menyeronokkan dan menyenangkan.