Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MAC – Biro Wanita Al-Mudarrisah dari Kampung Sungai Buloh, Mukim Mentiri telah menganjurkan Majlis Khatam Al-Quran bagi Zon 2 Mukim Mentiri dan Mukim Serasa sempena Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-36.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang berlangsung di Masjid Hassanal Bolkiah, Rancangan Perumahan Negara (RPN) Mentiri itu ialah isteri Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Nurhayana Janis binti Abdullah Lim.
Antara tujuan majlis khatam Al-Quran itu adalah untuk menyemarakkan dan memeriahkan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-36, selain mendukung hasrat negara untuk menjadi sebuah Negara Zikir.
Dengan acara keagamaan itu juga ia dapat mengumpulkan penduduk kampung untuk sama-sama menghayati Al-Quran bagi memperolehi keberkatan kampung khasnya dan Negara Brunei Darussalam amnya.
Pada majlis itu, bacaan takhtim dipimpin oleh Haji Ismawati binti Haji Sulaiman manakala Doa Khatam dibacakan oleh Pengiran Hajah Ommi Kalthum binti Pengiran Haji Abdul Razak.
Sementara bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Doa Selamat dibacakan oleh Hajah Ismawati yang turut diserikan dengan Dikir Asyaraqal.
