Monday, December 16, 2024
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Al-Muflihun laksana Program Nasi Goreng Kampung

    BELAIT, 15 DIS – Bagi menyokong Kempen Hari Bertindak 2024, Pusat Pembelajaran Al-Muflihun dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa (AJK) Takmir Masjid Al-Mashor Kampung Sungai Mau telah mengadakan program khidmat kemasyarakatan iaitu Program Nasi Goreng Kampung yang telah diadakan di Masjid Al-Mashor Kampung Sungai Mau, baru-baru ini.

    Program itu merupakan salah satu daripada inisiatif Pusat Pembelajaran Al-Muflihun dalam mewujudkan perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat bersama-sama dengan para sukarelawan yang telah mengikuti program tersebut.

    Seramai 65 orang sukarelawan yang terdiri daripada pelatih dan pengawas dari Pusat Pembangunan Belia, sukarelawan yang berdaftar secara dalam talian melalui aplikasi Mengalinga dan warga masyarakat kampung telah menyertai dan memberikan khidmat dalam menjayakan program ini.

    Hadir bagi menyokong program itu ialah Pemangku Ketua Jabatan Belia dan Sukan, Cawangan Daerah Belait, Gaung anak Jamit dan Pegawai Hal Ehwal Masjid, Haji Akup bin Haji Lamat.

    Antara pengisian aktiviti bagi program berkenaan ialah seperti sesi suai kenal bersama dengan para sukarelawan yang mana setiap sukarelawan akan mempunyai kumpulan-kumpulan yang telah ditetapkan oleh AJK. Seterusnya setiap kumpulan akan diberikan tugasan untuk memasak nasi goreng kampung mengikut bahan-bahan yang telah disediakan.

    Para sukarelawan juga diberikan tunjuk ajar oleh AJK dalam memastikan masakan dimasak dengan cara yang betul. Setiap masakan akan dinilai dari segi rasa dan kekemasan dalam penyediaannya. Setelah itu, setiap nasi goreng yang dimasak akan dibungkuskan dan bersedia untuk diagihkan kepada masyarakat Kampung Sungai Mau yang tinggal berdekatan dengan kawasan masjid tersebut.

    Sejumlah 80 pek nasi goreng telah berjaya diedarkan kepada masyarakat kampung yang telah disampaikan oleh setiap wakil dari Pusat Pembelajaran Al-Muflihun, AJK takmir masjid dan Pusat Pembangunan Belia.

    Program diakhiri dengan majlis penutup dengan penyampaian sijil penghargaan kepada setiap sukarelawan yang telah menjayakan program berkenaan oleh Pengasas Pusat Pembelajaran Al-Muflihun, Awangku Abdul Qayum bin Pengiran Bakar.

    Awangku Abdul Qayum bergambar ramai semasa majlis berkenaan. – GAMBAR SERAHAN PUSAT PEMBELAJARAN AL-MUFLIHUN
    Penyerahan pek nasi goreng kepada salah sebuah keluarga di Kampung Sungai Mau. – GAMBAR SERAHAN PUSAT PEMBELAJARAN AL-MUFLIHUN
    Awangku Abdul Qayum menyerahkan sijil penghargaan kepada salah seorang sukarelawan semasa majlis berkenaan. – GAMBAR SERAHAN PUSAT PEMBELAJARAN AL-MUFLIHUN

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda