Thursday, September 19, 2024
34.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Al-Nassr ikat Al-Shorta

    BAGHDAD, 17 SEPT – Tanpa kehadiran Cristiano Ronaldo yang tidak sihat, Al-Nassr dari Arab Saudi seri 1-1 dengan Al-Shorta dari Iraq dalam perlawanan pertama AFC Liga Elit Juara-Juara yang dijenamakan semula, kelmarin.

    Ronaldo, bintang Portugal yang telah memenangi lima kejuaraan UEFA Liga Juara tetapi masih belum meraih trofi utama bersama Al-Nassr, ditinggalkan di Riyadh selepas dilaporkan mengalami jangkitan virus dan tidak dapat pergi ke Baghdad.

    Sultan Al-Ghannam membuka jaringan untuk Al-Nassr pada minit ke-14, namun Mohammed Dawood menyamakan kedudukan 10 minit kemudian.

    Al-Nassr turut menerima satu lagi tamparan apabila pemain antarabangsa Croatia, Marcelo Brozovic, terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan pada separuh masa kedua.

    Sementara itu, Al-Ahli, satu lagi pasukan bertaraf bintang dari Arab Saudi, menewaskan Persepolis dari Iran 1-0 di Jeddah. Franck Kessie, bekas pemain tengah Barcelona dan AC Milan, menjaringkan gol pada minit pertama. Ivan Toney, pemain yang baru menyertai kelab itu dari Liga Perdana Inggeris, Brentford, membuat penampilan pertama untuk Al-Ahli tetapi tidak berjaya menjaringkan gol.

    Bekas bintang Manchester City, Riyad Mahrez, terlepas peluang menjaringkan penalti pada separuh masa kedua, namun Al-Ahli berjaya mengekalkan kedudukan.

    Di tempat lain, Al-Ain dari Emiriah Arab Bersatu, juara terakhir Liga Juara-Juara Asia sebelum ia digantikan oleh Elite, memulakan kempen dengan keputusan seri 1-1 menentang Al-Sadd dari Qatar. Sementara itu, Esteghlal dari Iran menewaskan Al-Gharafa dari Qatar dengan keputusan 3-0.

    Sebanyak 24 pasukan dibahagikan kepada dua kumpulan berdasarkan zon geografi timur dan barat dan setiap pasukan akan bermain lapan perlawanan. Lapan pasukan terbaik dari setiap kumpulan akan mara ke pusingan 16.

    Pasukan ketiga Arab Saudi, Al-Hilal, akan beraksi hari ini dan akan bertandang ke Qatar untuk menentang Al-Rayyan. – AP

    Aksi pemain Shorta meraikannya bersama rakan sepasukan selepas menjaringkan gol semasa perlawanan antara Al-Shorta dari Iraq dan Al-Nassr di Baghdad pada 16 September. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda