Sunday, May 11, 2025
29.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Al-Quran diagungkan melalui tadarus

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MAC – Dalam menyemarakkan bulan Ramadan yang mulia dengan aktiviti keagamaan, Jawatankuasa Tadbir Tertinggi Pertubuhan WARGAMAS (PW) telah menganjurkan Program Tadarus Al-Quran ke-2, baru-baru ini.

    Majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat PW itu adalah sebagai galakkan kepada ahli-ahli PW dalam sama-sama meraih keberkatan pada bulan Ramadan dan mengagungkan Al-Quran dengan memperbanyakkan membacanya.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Penasihat PW, Dato Seri Setia Haji Metussin bin Haji Baki dan Datin.

    Yang Dipertua PW, Haji Abu Bakar bin Haji Mohd Don dalam ucapannya antara lain menjelaskan, penyertaan dalam program tadarus tahun ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan iaitu seramai 96 orang berbanding pada tahun lalu hanya 40 orang saja.

    “Program tadarus tahun ini berlangsung selama lima hari dan ia dibuat secara halaqah yang mana dibahagikan kepada tujuh halaqah merangkumi kumpulan lelaki dan juga perempuan,” jelasnya.

    Beliau turut mengongsikan, hasil penilaian yang telah dibuat pada 2022 mengenai pelaksanaan program bertadarus berkenaan telah mengenal pasti beberapa kekurangan bacaan yang perlu diperbaiki.

    Menurut beliau lagi, kebanyakan peserta tahun lepas mempunyai semangat yang tinggi untuk memperbaiki bacaan Al-Quran mereka dan mahu menjadikan Al-Quran sebagai teman pada usia lanjut.

    Beliau seterusnya berharap, ahli-ahli PW akan terus istiqamah membaca, mentaddabur, mengamalkan membaca Al-Quran.

    Majlis turut diserikan dengan tazkirah yang disampaikan oleh Dekan Fakulti Syariah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Dr Haji Noralizam bin Haji Aliakhbar.

    Dr Haji Noralizam ketika menyampaikan tazkirah.
    Antara ahli PW yang hadir.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda