Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Al-Quran hala tuju kehidupan sebenar

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JULAI – Kejayaan pengisian iman dan jiwa hanya akan dapat dicapai dengan melazimkan membaca, memahami dan mentadabur isi kandungan Al-Quran sehingga dapat membezakan di antara yang hak dan batil, antara yang ikhlas dan berpura-pura serta di antara yang membela kebenaran atau sebaliknya memperjudikannya.

    Memperkasakan keupayaan itu amat penting dan semakin relevan dalam zaman serta kehidupan masyarakat semasa yang dipenuhi kekaburan dan kekeliruan berpunca daripada kealpaan terhadap tujuan hidup sebenarnya di alam fana ini.

    Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) menekankan perkara itu semasa berkenan mengurniakan sabda pada Majlis Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1444 Hijrah/2023 Masihi yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, malam ini.

    Terdahulu, Duli Yang Teramat Mulia bersabda bahawa selama enam dekad, Negara Brunei Darussalam telah berhasil melahirkan barisan generasi qari dan qariah kebangsaan yang berkesinambungan di samping menempa nama di persada bidang taranum Al-Quran peringkat antarabangsa.

    “Pencapaian ini bukti jelas bahawa Syiar Islam dan khasnya usaha menerapkan dan memartabatkan Ummul Kitab Al-Quran sebagai panduan kehidupan yang syumul telah berjaya dipertahankan dan diperkukuhkan.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah semasa berkenan mengurniakan sabda pada Majlis Musabaqah Membaca Al-Quran, malam tadi. Turut berangkat sama ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik. – Gambar oleh Muiz Matdani

    “Kejayaan ini adalah berkat kegigihan dan usaha yang konsisten bermula daripada kebijaksanaan pucuk kepimpinan Paduka Nenda, Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, dan kini Paduka Ayahanda, Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam,” sabda Duli Yang Teramat Mulia lagi.

    Duli Yang Teramat Mulia juga menyentuh mengenai tema yang dipilih tahun ini, iaitu ‘Bersabar, Berikhtiar, Bertawakal, dan Berdoa Menghadapi Ujian: Dengan Petunjuk Al-Quran’, yang memperingatkan umat Islam untuk sentiasa kembali kepada Allah SWT dan Al-Quran dalam apa jua keadaan termasuk ketika menghadapi sebarang musibah, ujian, atau bencana.

    Umat Islam juga dianjurkan untuk melazimkan diri mengaji atau membaca Al-Quran, bermunajat dan mengamalkan doa-doa serta zikir dan wirid, baik ketika bersendirian, mahupun secara berjemaah termasuk bersama keluarga yang menjurus kepada memperkukuh kekuatan rohani serta keutuhan kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

    Duli Yang Teramat Mulia menekankan bahawa, setiap manusia serta seluruh makhluk ciptaan Allah SWT tidak terlepas berdepan cabaran dan ujian sepanjang kehidupan masing-masing.

    Setiap musibah yang Allah turunkan kepada mana-mana individu dan kelompok manusia merupakan ujian bagi menilai tahap sebenar keimanan hamba-hambaNya yang terpilih.

    Duli Yang Teramat Mulia menegaskan lagi setiap musibah atau ujian yang Allah turunkan kepada seseorang atau kaum mempunyai maslahat tertentu dan mungkin saja hadir dalam pelbagai bentuk.

    Justeru, ketika berhadapan dengan musibah, terdapat beberapa sifat terpuji yang dianjurkan kepada umat Islam antaranya bersabar dan berikhtiar, di samping memanjatkan doa serta bertawakal agar segala urusan dipermudahkan termasuk dikurniakan keringanan.

    Dengan demikian, umat Islam dituntut sentiasa mempersiapkan dan melengkapkan diri dengan pelbagai bidang ilmu duniawi dan ukhrawi termasuk amalan dan doa tertentu sebagai usaha untuk mendepani sebarang kemungkinan lebih buruk sekiranya ditakdirkan ditimpa musibah atau ujian yang mungkin saja disebabkan oleh tangan-tangan manusia itu sendiri.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda