Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 MEI – Al-Quran merupakan panduan dan rujukan terpenting umat Islam dalam segenap aspek kehidupan, khususnya dalam membentuk masyarakat yang bersefahaman dan harmoni.
“Dari sinilah Al-Quran amat menekankan kepentingan memelihara hubungan persaudaraan dan memelihara kemesraan hidup bermasyarakat”, jelas Ketua Kampung Sungai Besar, Kampung Serdang dan Kampung Sungai Belukut, Leftenan Kolonel (B) Haji Zaini bin Haji Damit pada Majlis Khatam Al-Quran bagi Jemaah Tadarus Subuh Masjid Kampung Sungai Besar yang berlangsung di rumah kediaman peserta khatam, Haji Badaruddin bin Haji Baha, baru-baru ini.
Leftenan Kolonel (B) Haji Zaini yang juga Penasihat Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Sungai Besar menyatakan majlis berkenaan menjadi simbol kesyukuran setelah jemaah berjaya menamatkan bacaan 30 juzuk Al-Quran.
Menurutnya, majlis berkenaan juga mencerminkan semangat ukhwah dan keimanan yang teguh dalam kalangan masyarakat kampung.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Penghulu Mukim Kota Batu, Awang Rasli bin Taram dan ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Sungai Besar.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah secara berjemaah, disusuli dengan bacaan surah-surah lazim bermula Surah Ad-Dhuha hingga Surah An-Nas yang dipimpin oleh Awang Abdul Rahim bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Tamin yang turut memimpin bacaan takhtim dan Doa Khatam.
Imam Masjid Kampung Sungai Besar, Awang Muhd Hazman bin Haji Mohd Hairol Azme kemudian menyempurnakan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam serta Doa Tahlil.
Majlis itu merupakan sebahagian daripada inisiatif jemaah Tadarus Subuh Masjid Sungai Besar yang menyasarkan untuk mengkhatamkan Al-Quran sekali setiap bulan sebagai langkah berterusan dalam memakmurkan masjid dan mendekatkan masyarakat dengan Al-Quran.
