Wednesday, February 19, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Al-Quran petunjuk, penjelasan kepada umat manusia

    ALLAH SWT telah menurunkan Al-Quran sebagai satu mukjizat terbesar yang membuktikan kerasulan Nabi Muhammad SAW dan kewujudan Allah SWT dengan segala sifat-sifat kesempurnaannya. Membaca Al-Quran serta menghayati dan mengamalkannya adalah satu ibadat sunnah.

    Nuzul Al-Quran

    Peristiwa Nuzul Al-Quran merupakan turunnya ayat Al-Quran yang pertama kepada Nabi Muhammad SAW seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab Al-Quran yang ada pada hari ini. Peristiwa ini berlaku pada tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad SAW ketika Baginda sedang beribadat di Gua Hira. Al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW, maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia Al-Quran. Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud:

    “Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan perbezaan (antara yang benar dan yang salah)”

    Allah SWT menurunkan Al-Quran untuk menjadi petunjuk dan penjelasan bagi umat manusia, dengan kata lain menjelaskan kepada manusia aturan kehidupan dan membina peradaban agar menjadi umat yang dapat membezakan antara yang halal dan haram, antara kebenaran dan kebatilan. Al-Quran juga sebagai petunjuk yang memandu dan memimpin kehidupan umat manusia.

    Al-Quran dimanfaatkan sebagai sumber saintifik dengan mengajak manusia untuk berfikir dan mengkaji alam semesta ini termasuk diri sendiri. Kajian demi kajian yang dilakukan oleh manusia zaman moden ini membuktikan bahawa wujudnya pencipta kepada alam ini iaitu Allah SWT.

    Allah SWT menurunkan Al-Quran untuk menjadi petunjuk dan penjelasan bagi umat manusia, dengan kata lain menjelaskan kepada manusia aturan kehidupan dan membina peradaban agar menjadi umat yang dapat membezakan antara yang halal dan haram, antara kebenaran dan kebatilan.

    Sesungguhnya Maha Tinggi dan Agungnya kuasa Allah SWT yang telah memberi petunjuk dan Al-Quran ini sebenar-benarnya dari Allah, Tuhan Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Ringkasnya, segala fakta dan kajian sains yang baru ditemui di abad ini telah lama diabadikan dalam Al-Quran yang telah diwahyukan lebih dari 1400 tahun yang lalu. Justeru, amat mustahillah Nabi Muhammad SAW boleh mereka-reka isi kandungan Al-Quran sebagaimana yang ditohmahkan oleh orang-orang kafir dan sesungguhnya kajian-kajian saintifik Al-Quran ini telah memberi kesedaran hakikat kehidupan dan menyakinkan keimanan kita kepada Allah SWT.

    Peluang dan ruang untuk menghayati Al-Quran serta menyelidiki hikmah di dalamnya adalah kewajipan umat Islam sendiri. Persoalan besar di sini ialah apakah jawapan kita apabila Allah SWT melontarkan soalan kepada kita yang membaca Al-Quran seperti di dalam Surah Ali ‘Imran ayat 101 yang bermaksud:

    “Dan bagaimana kamu akan menjadi kafir padahal kepada kamu dibacakan ayat-ayat Allah (Al-Qur’an), dan dalam kalangan kamu ada Rasul-Nya (Muhammad SAW)? Dan sesiapa berpegang teguh kepada (agama) Allah, maka sesungguhnya ia telah beroleh petunjuk hidayah ke jalan yang betul (lurus)”.

    Ayat ini menunjukkan kepada kita terdapat di kalangan orang Islam menjadi kufur sedangkan Al-Quran dan Sunnah berada di sisinya. Ini adalah disebabkan mereka tidak dapat menerima petunjuk dari Allah SWT serta mengingkari kepada ayat-ayat Allah. Ingatlah wahai umat manusia sekalian bahawa sesungguhnya Allah SWT memberikan penghormatan kepada kita sebagai manusia agar kita menjadi golongan yang mulia.

    Salah satu pendekatan yang mengangkat martabat umat ini ialah dengan mengamalkan ajaran Al-Quran secara menyeluruh dengan menjadikan Al-Quran sebagai sumber kehidupan. Oleh itu, berkat di dalam bulan Ramadan yang mulia ini, marilah kita sama-sama membina kehidupan dengan Al-Quran, mendalami ilmu yang terkandung di dalamnya serta mengkaji dan mengambil segala iktibar daripada kisah-kisah sebagai pengajaran.

    Marilah sama-sama kita membangunkan minda dengan Al-Quran, mendidik, memacu pemikiran dengan meneliti dan mengembangkan rahsia tersembunyi yang terkandung di dalam Al-Quran dan di sebalik penciptaan Allah SWT. Mudah-mudahan dengan kesedaran ini akan melahirkan umat yang bertakwa, memiliki akal yang sempurna, berilmu dan berdaya saing diri.

    Pelbagai pihak khususnya golongan ibu-bapa diseru agar mendidik anak-anak dengan didikan Al-Quran, ajarlah mereka dengan ajaran Al-Quran, mudah-mudahan dengan cara ini hidup yang bakal dilalui oleh mereka akan diterangi oleh cahaya kebenaran dan keinsafan. Ingatlah bahawa Rasulullah SAW sentiasa mengutamakan umatnya yang mana hatinya terpaut dan terdidik dengan Al-Quran. Ambil manfaat untuk meningkatkan ketakwaan dan mengubah segala kelakuan buruk ke arah yang lebih diredhai Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah Al-Qamar ayat 17 yang bermaksud:

    “Dan sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Qur’an untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan?”

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda